Kanak-kanak 10 tahun hilang ditemukan lemas - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 10 tahun hilang ditemukan lemas

ANGGOTA bomba membawa mayat kanak-kanak yang ditemukan lemas di Pantai Teluk Senangin, Segari hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun yang dilaporkan hilang ketika mandi di pantai Teluk Senangin, Segari, dekat sini semalam ditemukan lemas pagi ini.

Mayat Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim ditemui di perairan Tanjung Hantu, kira-kira dua batu nautika dari pantai peranginan tersebut kira-kira pukul 8.20 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Makaysia (JBPM) Perak, Penguasa Kanan Bomba I Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa ditemui oleh nelayan yang menangkap ikan di kawasan tersebut sebelum memaklumkannya kepada pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kanak-kanak tersebut.

“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, SAR murid Sekolah Kebangsaan Tanjong Rambutan melibatkan 67 orang daripada bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan orang awam, ditamatkan pada pukul 9 pagi ini.

Semalam, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun dilaporkan hilang ketika mandi di pantai peranginan Teluk Senangin, Segari, dekat sini, tengah hari tadi.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1 tengah hari ketika kanak-kanak itu, Mohammad Fariz Irfan Abdul Halim mandi bersama adik perempuan berusia tujuh tahun dan ditemani seorang kakaknya yang berusia 19 tahun.

Sementara itu, menurut Sabarodzi, SAR kanak-kanak itu yang ditangguhkan pada pukul 6.30 petang semalam disambung pada pukul 10.45 malam tadi.

Jelasnya, ia selepas pihaknya menerima maklumat orang ramai mendakwa melihat kelibat mangsa di kawasan chalet lebih kurang lima kilometer (km) dari lokasi asal pencarian di pantai tersebut.

“Ada orang awam memberitahu ternampak kanak-kanak itu yang memakai seluar hitam berjalur putih dan baju berkolar warna merah jambu di sekitar kawasan chalet pada pukul 3.30 petang dalam keadaan terpinga-pinga dan takut.

“Jarak chalet itu dari lokasi asal pencarian adalah lebih kurang lima kilometer,” ujarnya.

Berikutan itu, menurutnya, operasi SAR digerakkan serta-merta malam tadi melibatkan dua kumpulan terdiri daripada tiga anggota bomba, enam anggota polis dan 25 orang awam di sekitar kawasan chalet dan kampung.

Beliau menaklumkan, radius pencarian meliputi 10 km, tetapi tiada sebarang petunjuk baharu ditemui sebelum ditangguhkan pada pukul 12.45 tengah malam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya