KANGAR: Program Transformasi Diraja di Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai, Kuala Perlis telah berjaya memberi nafas baharu khususnya buat penduduk di kawasan berkenaan.
Duta Besar Malaysia ke Thailand, Tuan Yang Terutama (TYT), Datuk Jojie Samuel berkata, pihaknya memuji inisiatif itu yang telah mengubah kampung berkenaan menjadi salah satu tarikan utama baharu di Perlis.
“Cetusan idea transformasi diraja kampung nelayan ini didapati telah memberi nafas baru kepada penduduk setempat dan membuatkan kampung mereka semakin bersih hingga mampu menjadi tumpuan pelancong,” katanya selepas mengiringi Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sewaktu Program Kayuhan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Negeri Perlis (MAIPs) Peduli di Dataran Semarak, Kampung Seberang Ramai di sini baru-baru ini.
Jojie bersama delagasi dari Bangkok, Thailand berkesempatan mengikuti program kayuhan itu yang merupakan sebahagian daripada sesi lawatan kerjanya selama dua hari ke Perlis.
Program Transformasi Diraja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai merupakan cetusan ilham Tuanku Syed Faizuddin dan anakanda sulung baginda, Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Projek itu turut disokong oleh MAIPs dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama beberapa agensi, pihak swasta serta masyarakat setempat.
Mengulas mengenai Program Kayuhan MAIPs Peduli, Jojie berkata, pihaknya juga kagum dengan inisiatif dilaksanakan itu di mana Tuanku Syed Faizuddin sendiri berkenan meluangkan masa singgah ke rumah-rumah asnaf di negeri ini.
“Program ini unik di mana baginda berkenan turun menyantuni dan meyampaikan bantuan MAIPs dengan tangan baginda sendiri kepada mereka memerlukan sambil berbasikal,” katanya.
Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin turut berharap agar hubungan baik antara Malaysia khususnya negeri Perlis dan Thailand akan terus berkekalan dengan lebih banyak kerjasama dapat dijalankan pada masa hadapan.-UTUSAN