TERENGGANU CEMERLANG: KAFA, kekeluargaan rahsia kekal cemerlang SPM, STPM - Utusan Malaysia

TERENGGANU CEMERLANG: KAFA, kekeluargaan rahsia kekal cemerlang SPM, STPM

SEBAHAGIAN pelajar meraikan kejayaan selepas mendapat keputusan cemerlang STPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Sulaiman, Kuala Terengganu, baru-baru ini. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Saban tahun Terengganu terus merekodkan pencapaian cemerlang atau negeri terbaik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Ia bukan hadir sekelip mata sebaliknya berkat usaha berte­rusan pelbagai pihak sehingga membawa Terengganu kekal berjaya khususnya dalam aspek pendidikan.

Difahamkan pendidikan awal agama seawal usia lima tahun merupakan antara tumpuan diberikan dalam melahirkan pelajar cemerlang pada masa depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Raba’Aton Adawiah Mohd. Yusof berkata, seawal usia lima tahun, murid di negeri ini diperkasa dengan Kelas al-Quran dan Fardhu­ Ain (KAFA) kelolaan Yayasan Islam Terengganu (YIT).

“Satu kajian dilakukan di Iran menunjukkan kecerdikan spiri­tual atau keagamaan mempunyai kaitan langsung dengan pencapaian akademik dan inilah yang berlaku di Terengganu.

“Seawal usia lima tahun, murid tadika YIT akan menghafal surah Yasin dan surah-surah lazim lain serta banyak kajian dibuat membuktikan hafazan ini turut memberi kelebihan daya ingatan yang kuat.

“Anak-anak pintar ini kemudian akan menyambung pelajaran ke sekolah-sekolah elit terkemuka di Terengganu antaranya Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu dan Sekolah Berasrama Penuh (SBP) yang lain,” katanya.

Tambahnya, faktor kedua berkait rapat struktur kekeluargaan yang erat dalam komuniti untuk saling menyokong dan ia memberi kesan positif dalam pencapaian akademik.

Katanya, motivasi yang kuat daripada keluarga menjadi pemangkin untuk pelajar mengu­bah kehidupan dan taraf sosioekonomi keluarga melalui kecemerlangan pendidikan.

“Istimewanya di Terengganu kerana masih wujud sistem keluarga tradisional yang membolehkan ahli keluarga tinggal berhampiran dan membantu mengawal kegiatan anak-anak.

“Hubungan ini secara tidak langsung dapat mencegah anak daripada terlibat dalam budaya sosial yang negatif seterusnya mereka lebih fokus dengan pendidikan.

“Faktor ketiga pula ialah persekitaran negeri yang tidak begitu terdedah dengan kegiatan sosial yang ekstrem seperti panggung wayang, pusat membeli-belah atau pusat hiburan seperti di kota besar yang lain,” katanya.

Jelasnya, kecemerla­ngan pendidikan di negeri ini bukanlah disebabkan faktor pemakanan ikan segar.

“Memang sumber protein penting untuk tumbesaran anak, namun ada juga pelajar pintar yang tidak makan ikan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya