Jom meriahkan Karnival Gunung Ledang mulai hari ini

Jom meriahkan Karnival Gunung Ledang mulai hari ini

TAUFIK Bahar (tengah) bersama-sama pegawai PTNJ mengalu-alukan orang ramai memeriahkan Karnival Gunung Ledang selama tiga hari bermula hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Orang ramai khususnya rakyat negeri ini dijemput memeriahkan Karnival Gunung Ledang yang diadakan bermula hari ini.

Karnival tiga hari anjuran Perbadanan Taman Negara Johor (PTNJ) itu diadakan sempena pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang.

Pengarah PTNJ, Taufik Bahar berkata, pelbagai program menarik dianjurkan sempena karnival tersebut, antaranya pameran oleh agensi kerajaan dan swasta, gerai jualan, pemeriksaan kesihatan, fun run, fun ride, pertandingan karaoke, persembahan motosikal, pertandingan mewarna serta apresiasi bahasa dan sastera.

“Turut diadakan Karnival Tanah Tangkak yang memberi peluang kepada orang ramai membayar cukai tanah, penyampaian hak milik baharu tapak kediaman bagi Mukim Serom serta cabutan bertuah kepada pembayar cukai tanah tahun 2023,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Taufik berkata, majlis perasmian karnival tersebut akan disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Ahad ini.

Menurutnya, PTNJ menyasarkan kehadiran kira-kira 10,000 pengunjung memeriahkan karnival tiga hari berkenaan.

Beliau berkata, pembukaan semula Air Terjun Gunung Ledang juga adalah usaha untuk membawa limpahan ekonomi kepada para peniaga tempatan dan masyarakat sekitar selepas ditutup kira-kira setahun lalu bagi proses pengambilalihan pengurusan daripada operator sebelum ini selain kerja-kerja membaik pulih dan menaik taraf kemudahan yang terdapat di kawasan rekreasi berkenaan.

“Bagi menghargai kesabaran dan penantian semua pihak, PTNJ bersetuju membenarkan kemasukan secara percuma dan tiada bayaran parkir kenderaan sepanjang tempoh tiga hari karnival berlangsung.

“Justeru, orang ramai khususnya rakyat Johor dijemput datang beramai-ramai bagi memeriahkan karnival berkenaan dan mengunjungi Air Terjun Gunung Ledang,” katanya.

Bagaimanapun Taufik memaklumkan, demi aspek keselamatan, kebersihan dan keselesaan pengunjung, jumlah kemasukan ke kawasan air terjun dihadkan kepada seramai 2,000 pengunjung pada satu-satu masa.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya membawa beg plastik sampah atau boleh membelinya di kaunter PTNJ untuk membawa keluar sampah yang dibawa masuk.

Katanya, resort untuk penginapan buat masa ini belum beroperasi dan kehadiran pelawat hanya melibatkan kemasukan harian.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi PTNJ menerusi talian 069772254 (pejabat) 013-7440953 atau 013-7440961. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya