PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bakal membuka cawangan pejabat pasport baharu yang dijangka dapat beroperasi sepenuhnya tiga bulan lagi.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, cawangan baharu itu akan di buka di pusat beli-belah Shaftbury Mall, Presint 1, di sini.
Beliau berkata, keputusan itu adalah sebagai satu ikhtiar baharu JIM kepada rakyat dan masyarakat sekitar untuk mendapatkan pasport dengan lebih cepat.
“Kita menjangkakan pembukaan cawangan baharu ini dapat memudahkan komuniti sekitar Serdang, Sungai Besi,Dengkil, Cyberjaya dan Cheras.
“Malah, ia sekali gus dapat mengurangkan kesesakan waktu puncak khususnya yang di ibu pejabat JIM di Putrajaya,” katanya dalam sidang akhbar sempena Sambutan Hari Imigresen 2023 di sini, hari ini.
Katanya, proses pembukaan itu kini berada dalam fasa akhir untuk disiapkan dan mengambil masa sekitar dua hingga tiga bulan lagi.
Saifuddin berkata, sebelum ini, JIM sudah membuka cawangan pertama pejabat urusan pasport di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA1) bagi mengatasi isu kesesakan di pintu masuk negara itu.
Menurutnya, sepanjang enam bulan pertama tahun ini, JIM mengeluarkan sebanyak 1,613,751 pasport di mana 68,416 pasport diproses dan dikeluarkan di ibu pejabat Imigresen di Putrajaya dengan purata 400 keping sehari.
Sementara itu, Saifuddin berkata, JIM akan membuka pusat-pusat sehenti menjalaankan proses verifikasi permohonan dalam Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK) 2.0 bermula dari 15 Ogos ini.
Menurutnya, pusat sehenti itu akan disediakan bertujuan untuk melakukan verifikasi dan pengesahan kepada pemohon yang memohon dalam program RTK.
“Pusat Sehenti verifikasi permohonan RTK ini akan dibuka di beberapa lokasi terpilih kawasan Lembah Klang bermula daripada ibu pejabat JIM Putrajaya.
“Dengan kaedah ini majikan yang hendak berurusan tentang proses verifikasi pekerja asing yang mahu digaji mereka boleh bermanfaat menerusi pusat sehenti ini dengan hanya perlu walk in tanpa menunggu proses temu janji,” katanya. – UTUSAN