KUALA TERENGGANU: Jenazah Muhammad Fikri Saliman, 24, mangsa kesembilan tragedi kepala air di Jeram Air Putih, Kemaman dihantar ke Batu Pahat, Johor malam ini untuk dikebumikan esok.
Kenderaan jenazah membawa Muhammad Fikri bertolak dari Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini diiringi kereta peronda polis pada pukul 10.30 malam .
Sebelum itu, mayat pemuda itu yang ditemukan kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian pada pukul 9.20 pagi tadi dibawa ke hospital itu untuk pengecaman dan bedah siasat.
Jenazah Muhammad Fikri yang dituntut pada pukul 2.15 petang kemudian dimandi dan disembahyangkan di HSNZ sebelum dibawa pulang ke Batu Pahat.
Menurut Shahrizal, jenazah Muhammad Fikri akan dibawa pulang ke Kampung Parit Kuda, Lubuk Semerah dekat Batu Pahat untuk dikebumikan bersebelahan pusara ibu mereka.
“Satu harapan saya iaitu kalau boleh seorang lagi mangsa dapat dijumpai, Kalau 10 orang pergi, 10 juga yang perlu ‘dibawa balik’ dan jangan ditinggalkan seorang lagi itu.
“Saya bersyukur harapan yang dibawa dari kampung agar arwah adik dijumpai tertunai walaupun sudah dalam keadaan tidak bernyawa,” katanya ketika ditemui di HSNZ di sini, malam ini.
Shahrizal menambah, beliau mengharapkan keluarga tunang adiknya yang terlibat dalam tragedi itu bersabar dan yakin seorang lagi ahli keluarga tersebut iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14, ditemukan selepas ini.
Mayat Muhammad Fikri ditemukan terdampar di beting pasir kira-kira dua kilometer dari lokasi kejadian dengan hanya berseluar dan identiti disahkan melalui pemeriksaan cap jari.
Setakat malam ini, seorang lagi mangsa, Putri Nor Fatin yang belum ditemukan.
Lapan lagi mangsa yang ditemukan sejak Ahad ialah Karim Abdullah, 39 dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.
Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, iaitu tunang Muhammad Fikri dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan pada Selasa. – UTUSAN