KUALA TERENGGANU: Jenazah enam beranak yang ditemukan mati lemas di Jeram Mawar, Air Putih, Kemaman, Sabtu lalu, dijangka dibawa pulang ke Felda Lepar Hilir 3, Gambang, Kuantan, Pahang, petang ini.
Salah seorang waris keluarga, Rosilawati Yassin, 49, berkata, keenam-enam mangsa itu akan dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Lepar Hilir 3.
Menurutnya, proses bedah siasat terhadap adik iparnya, Azizah Eiyi, 40, dan suami, Karim Abdullah, 39, serta empat anak mereka telah selesai dan kini dalam urusan pengurusan jenazah.
“Pihak hospital dan polis telah memaklumkan proses memandi dan mengkafankan enam beranak itu akan bermula jam tiga petang ini untuk dibawa pulang ke kampung halaman.
“Pihak keluarga bersyukur dapat mempercepat proses pengkebumian dan berharap usaha mencari baki mangsa berjalan baik,” katanya di perkarangan Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, hari ini.
Setakat ini, selain Azizah dan suaminya, turut akan dibawa pulang adalah jenazah anak mereka, Muhammad Zulqarnain Haikal, 11, Putri Nurerina Natasya, 10, Muhammad Haziq Ziqree, 6, dan Putri Aryana Umaira, 4.
Terdahulu, mayat ketujuh yang dikenal pasti sebagai anak sulung pasangan itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, tiba di HSNZ bagi tujuan bedah siasat pada pukul 2.15 petang ini.
Tiga lagi mangsa belum ditemukan ialah Putri Nor Fatin, 14, Putri Alleya Maisarah, 16, dan tunang kepada Putri Balqis Izzati iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN