PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan mengatur pertemuan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada bulan depan berkait permohonan mendapatkan tapak tanah bagi perancangan pembinaan pangkalan udara di negeri berkenaan.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Abdul Wahab Mat Yasin berkata, perancangan pembinaan itu dijangka memerlukan tapak tanah berkeluasan kira-kira lima ekar bagi kemudahan helipad dan menempatkan hangar pesawat.
Menurut beliau, pembinaan pangkalan udara itu bertujuan mengembangkan lagi operasi udara jabatan serta selaras dengan pelancaran helikopter ambulans pertama, Emergency Medical Air Rescue Services (EMARS).
“Kami amat berterima kasih kepada Premier Sarawak yang sudi untuk membantu JBPM dalam perancangan pembinaan sebuah pangkalan udara tetap bagi memberi perkhidmatan yang lebih luas kepada negeri Sarawak khususnya.
“Memang menjadi fokus utama kita untuk mengembangkan operasi udara kerana dapat mempercepatkan operasi menyelamat, bantuan penghantaran makanan dan juga selari dengan pelancaran EMARS,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan bagi Julai 2023 di Ibu Pejabat JBPM hari ini.
Pada masa sama, beliau menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan Sirim QAS Internation Sdn. Bhd. berkait kerjasama penyelidikan dalam menjalankan aktiviti pengujian sistem pepasangan dan perkakasan keselamatan kebakaran.
Ini termasuk menandatangani kontrak perjanjian Sistem Pengawasan Kebakaran Automatik (SPKA) bersama Iscada Net Sdn. Bhd.
Selain itu, Abdul Wahab turut menyaksikan penyerahan sebanyak lima unit ‘High Density Polyethylene Rescue Boat’ daripada Permodalan Nasional Berhad kepada JBPM bagi kegunaan ketika menghadapi musim banjir atau operasi penyelamatan di air.
Mengulas lanjut, beliau berkata, selain Sarawak, JBPM mengadakan perbincangan bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah mengenai keperluan tapak bagi mewujudkan pangkalan udara meliputi kawasan Labuan.
Kelmarin media melaporkan, kerajaan negeri Sarawak mengalu-alukan cadangan JBPM untuk mendapatkan tapak tanah bagi membina pangkalan udara di negeri itu. – UTUSAN