KUALA LUMPUR: Tawaran Inisiatif Payung Rahmah menerusi kerjasama Jaya Grocer dan Grab Malaysia bakal memberi jalan kepada para pengguna terutama masyarakat berpendapatan rendah untuk berbelanja dengan harga berpatutan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pelaksanaan inisiatif itu bertujuan membantu mengurangkan beban rakyat berikutan peningkatan kos sara hidup.
“Menerusi kerjasama tersebut, Jaya Grocer dan Grab Malaysia menawarkan promosi eksklusif melalui tiga inisiatif hanya di platform aplikasi Grab,” katanya ketika melancarkan Inisiatif Payung Rahmah di Jaya Grocer KL East Mall, di sini, hari ini.
Menurut Salahuddin, insiatif yang pertama iaitu Pakej Rahmah menawarkan pakej ‘Mix & Match’ atau campur dan padankan dengan harga serendah RM18 yang boleh didapati di GrabFood.
Katanya, inisiatif kedua Jualan Rahmah pula, pengguna boleh mendapatkan diskaun sehingga 40 peratus bagi pembelian barangan keperluan harian, eksklusif di Jaya Grocer melalui GrabMart.
Inisiatif terakhir, kata beliau, iaitu Bakul Rahmah membantu dengan menyokong komuniti pemandu orang kurang upaya (OKU) Grab dan rakan kongsi penghantaran dengan kotak keperluan asas.
“Hampir 1,000 perniagaan telah mengambil bahagian dalam inisiatif tersebut bersama Jaya Grocer dan Grab Malaysia. Peniaga dan rakan kongsi penghantaran juga akan mendapat manfaat melalui peningkatan permintaan serta peluang pendapatan tambahan,” jelasnya.
Beliau berkata, kementeriannya terus komited memastikan seluruh warga Malaysia Madani dilindungi dan tidak terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dalam situasi mencabar dan tidak menentu pada hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Jaya Grocer dan Pengarah Urusan Grab Malaysia, Adelene Foo berkata, isu peningkatan kos sara hidup dilihat memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia, justeru usaha seperti inisiatif tersebut memerlukan penelitian pelbagai aspek.
“Selain mengurangkan harga barangan, memudahkan akses kepada ekonomidigital juga boleh mewujudkan penjimatan jangka masa panjang. Inilah faktor utama mengapa Grab dan Jaya Grocer ingin memacu akses saksama kepada ekonomi digital agar semua pihak dapat menikmati faedah dan penjimatan melalui perkhidmatan dalam talian.
“Kami komited meneroka inovasi yang mampu mengurangkan kos operasi, menyalurkan penjimatan kepada pengguna dan memastikan peluang menjana pendapatan untuk semua,” katanya. – UTUSAN