PUTRAJAYA: Kementerian Perpaduan Negara menasihati semua pihak termasuk penyokong parti politik dan anggota masyarakat supaya menghindari kempen yang boleh membawa kepada unsur perpecahan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, aspek berkenaan perlu dititik beratkan terutamanya semasa musim kempen yang akan berlangsung selama dua minggu.
“DUN (Dewan Undangan Negeri) sudah pun dibubar dan tarikh pencalonan dan PRN sudah diketahui semua, ini adalah masanya untuk parti-parti yang akan bertanding.
“Saya sebagai Menteri Perpaduan berharap ketika PRN (nanti), dari segi perpaduan kita harus teguhkan, tak boleh lah kita berkempen untuk jatuhkan maruah atau pun memfitnah sesuatu yang akan membawa kepada perpecahan (kaum) dan perpecahan dalam perpaduan, ini sangat penting.
“Bagi kita di kementerian, ini yang kita jaga dan kita pesan kepada semua (supaya menjaga sensitiviti),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Ini Warisan Kita di sini hari ini.
Mengulas mengenai program itu, beliau berkata, objektif utama penganjuran adalah bagi melestarikan perpaduan dengan meningkatkan pengetahuan, kefahaman dan penghayatan masyarakat pelbagai kaum mengenai khazanah warisan negara.
Jelasnya, program yang berlangsung selama tiga hari sejak Jumaat lalu itu menyasarkan kehadiran orang awam dari pelbagai peringkat umur dan latar belakang bagi mempelajari dan menghayati sendiri kepelbagaian warisan yang dibawakan khas kepada pengunjung.
“Program yang bertemakan ‘Melestarikan Perpaduan’ ini sangat bertepatan dengan hasrat kerajaan dalam membangun Malaysia Madani yang menerapkan elemen hormat-menghormati serta menjadikan warisan sebagai salah satu platform pengukuhan perpaduan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, selain persembahan kebudayaan berunsurkan silang budaya, pengunjung juga dapat melihat dengan lebih dekat pameran rumah etnik seperti Chetti, Baba Nyonya, Mah Meri, Siam dan Portugis yang menampilkan pengisian seni tari, busana, kraf tangan serta makanan tradisi. – UTUSAN