Jalan Pintas Murai Jaya siap 10 hari lebih awal

Jalan Pintas Murai Jaya siap 10 hari lebih awal

AB. RAUF Yusoh (tiga dari kiri) dan Alexander Nanta Linggi (tiga dari kanan) merasmikan projek Jalan Pintas Murai Jaya di Durian Tunggal, Alor Gajah, Melaka. - UTUSAN/SYAFEEQ AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jalan Pintas Murai Jaya di Durian Tunggal di sini yang siap 10 hari lebih awal dari tarikh sepatutnya bakal memanfaatkan lebih 5,000 pengguna jalan raya yang berdepan kesesakan untuk ke pusat bandar, sebelum ini.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, projek dari Persimpangan Jalan Alor Gajah Lama ke Taman Murai Jaya itu menelan belanja sebanyak RM8.7 juta hasil peruntukan sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, meskipun jalan alternatif tersebut hanya sepanjang 240 meter, namun ia mampu mempercepatkan perjalanan penduduk sekitar hampir 10 minit terutama buat mereka yang bekerja di Ayer Keroh.

“Jalan ini panjangnya hanya 240 meter tetapi memberikan kesan besar terhadap masyarakat setempat dalam menguruskan kehidupan mereka untuk bekerja dalam kawasan-kawasan pusat bandar di sebelah Ayer keroh.

“Jadi saya ucapkan terima kasih dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kerja Raya dalam menguruskan untuk menyempurnakan projek ini telah memberikan kerjasama yang amat baik.

“Projek ini telah dapat disiapkan lebih awal 10 hari dengan kontraktor yang telah diberikan tanggungjawab untuk menyempurnakan projek ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian dan penyerahan projek yang turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dalam pada itu, mengulas berkenaan keperluan lampu isyarat di persimpangan berhampiran Plaza Tol Ayer Keroh yang menyebabkan penduduk Durian Tunggal terpaksa menunggu antara lima belas minit sehingga setengah jam untuk melintas seperti dilaporkan Utusan Malaysia sebelum ini, Ab. Rauf berkata, perkara itu sedang dalam peringkat kajian.

“Itu masih lagi dalam peringkat kajian dan kita akan mengambil semua maklumat ini untuk penambahbaikan pada masa akan datang,” jelasnya.

Sementara itu, Alexander berkata, Kementerian Kerja Raya telah menerima senarai kerajaan negeri berkaitan kemudahan diperlukan terutama bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

“Pagi tadi, saya ada berbincang dengan Ketua Menteri mengenai keperluan projek-projek kerana tahun depan merupakan TMM 2024, jadi kita perlu buat macam-macam persediaan untuk kemudahan berkaitan.

“Ini termasuk di lebuh raya dan jalan-jalan persekutuan yang mana saya sudah terima senarai (projek) untuk diteliti sebelum menghulurkan bantuan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya