KOTA KINABALU: “Perjalanan yang mengambil masa kira-kira empat jam dari Keningau ke Tawau, Sabah melaui Kalabakan boleh menjadi sehingga enam jam kerana keadaan jalan raya yang menghubungkan laluan berkenaan semakin teruk.”
Itu luahan pengguna jalan raya, Noor Azuan Jamal, 44, semasa melalui Jalan Keningau-Kalabakan ketika berkunjung ke Tawau baru-baru ini.
Katanya, semakin hari keadaan jalan semakin teruk hingga memerlukan pengguna memandu dalam keadaan perlahan bagi mengelakkan kerosakan teruk pada kenderaan.
Menurutnya, perjalanan yang mengambil masa singkat boleh menjadi panjang kerana keadaan jalan yang diibaratkan seperti permukaan bulan (berkawah).
“Itu antara laluan utama pengguna jalan raya untuk ke Pantai Timur Sabah tapi, keadaan jalan raya masih lagi teruk. Keadaan jalan sudah seperti laluan bagi aktiviti lasak untuk kenderaan 4×4.
“Selepas hampir 60 tahun Malaysia dibentuk, kemudahan asas seperti jalan raya di Sabah masih di takuk lama. Kini, kita berbicara soal pelaburan berjuta ringgit masuk ke Sabah tapi, masalah asas seperti jalan raya rosak pun kita gagal untuk tangani,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Johan Ramli, 54, berkata, sudah hampir setahun beliau tidak melalui Jalan Keningau-Kalabakan.
“Ingatkan selepas setahun, keadaan jalan sudah bertambah baik. Sekiranya pengguna tidak biasa melalui tersebut, ia boleh mendatangkan bahaya terutama apabila mereka memandu pada waktu malam.
“Sesetengah kenderaan akan mengelak jalan yang rosak sehingga memasuki lorong bertentangan. Jika kenderaan datang dari arah bertentangan dipandu laju, sudah pasti ia boleh mengakibatkan kemalangan jalan raya,” katanya.
Jelas beliau, baru-baru ini, menteri menyatakan rakyat Sabah boleh membuat tuntutan kerosakan kenderaan yang disebabkan masalah jalan raya di Sabah.
Namun, beliau percaya tidak semua pengguna bersedia melalui proses perundangan yang panjang hanya untuk membuat tuntutan kerosakan kenderaan daripada kerajaan.-UTUSAN