Jakim perlu luaskan peranan, bukan hanya sekadar jabatan agama - Anwar - Utusan Malaysia

Jakim perlu luaskan peranan, bukan hanya sekadar jabatan agama – Anwar

ANWAR Ibrahim menerima buku Adab Perbezaan Pendapat Dalam Islam pada majlis peluncuran buku tersebut di Kompleks Islam Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu meluaskan peranan, bukan sekadar jabatan agama, sebaliknya berfungsi dalam pelbagai aspek.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau mahu fungsi dan peranan Jakim di bawah pentadbirannya dipacu berlandaskan konsep Malaysia Madani.

Beliau berkata, Jakim perlu melalui fasa pembaharuan dan reformasi institusi serta dilihat berbeza dengan pendekatan sewaktu pentadbiran kerajaan sebelum ini.

“Saya melihat peruntukan untuk Islam itu ditambah dan kegiatan untuk Islam juga bertambah. Malah Jakim ini bukan jabatan agama semata-mata.

“Saya sudah minta Ketua Pengarah Jakim, Datul Hakimah Mohd Yusoff dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Zuki Ali supaya jabatan ini berperanan dalam soal naratif ekonomi, Belanjawan Madani dan dasar pendidikan.

“Itu harus diambil kira dan sekarang, kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) turut mengambil kira input daripada Jakim supaya prinsip dan nilai ini tidak lari.

“Mana ada peranan Jakim dalam belanjawan (dalam kerajaan terdahulu). Mana ada peranan Jakim dalam RMK-12. Tidak ada tetapi sekarang ada sebab Malaysia Madani yang mempertahan soal nilai dan akhlak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis peluncuran buku bertajuk Adab dan Perbezaan Pendapat Dalam Islam di Kompleks Islam Putrajaya di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Anwar menyentuh mengenai cara menguruskan perbezaan pendapat yang sepatutnya ditangani dengan tertib.

“Bukan saja perbezaan pandangan dan pendapat malah perbezaan mazhab dan idea perlu dihormati sekiranya ia dikupas dengan lebih mendalam.

“Ini kerana, dalam Malaysia Madani ini kita mahu menekankan soal nilai dan soal akhlak. Kita juga mahu penyertaan orang Islam dan bukan Islam,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya