Isu Uptown Pahlawan Walk: Kerajaan negeri ‘tak lari’

Isu Uptown Pahlawan Walk: Kerajaan negeri ‘tak lari’

RAIS Yasin (empat dari kiri) memegang plakad Program Kesedaran Kebersihan Jonker Walk di Banda Hilir, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyerahkan kepada pihak penganjur untuk berdialog dan menyampaikan maklumat mengenai Uptown Pahlawan Walk dan kawasan terlibat dengan inisiatif zon bebas kenderaan kepada para peniaga.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, Datuk Rais Yasin berkata, beliau telah berjumpa dan meminta penganjur untuk bertemu dengan peniaga di kawasan terlibat

Katanya, beliau difahamkan pertemuan tersebut telah diadakan dua hari lalu.

“Sebenarnya kita tak lari, ini memang tanggungjawab saya untuk berdialog dan berjumpa dengan para peniaga. Biarlah penganjur berjumpa dengan peniaga dahulu kerana mereka yang mengambil lesen daripada pihak majlis.

“Saya hendak lihat bagaimana penganjur menyampaikan semula apa yang telah kerajaan negeri terangkan kepada mereka. Saya akan turun (bertemu) setelah penilaian akhir daripada pihak majlis diperolehi.

“Saya tidak mahu turun dan tiba-tiba nak kata suruh (minta) orang berpindah sedangkan kita pun tidak tahu lokasi sebenar di mana. Kita hendak lihat dahulu lokasi terbaik dan selepas itu kita akan berbincang,” katanya dalam sidang akhbar selepas Program Kesedaran Kebersihan Jonker Walk di sini, hari ini.

Rais menyampaikan pelekat dan tong sampah kepada peniaga di Jonker Walk sebagai usaha mempromosikan amalan menjaga kebersihan dan pengindahan persekitaran Bandaraya Melaka.

Dalam perkembangan lain, Rais memaklumkan, banjir yang berlaku di Kampung Lancang dan Kampung Janda Berhias di Sungai Rambai, Jasin adalah disebabkan banjir kilat.

Menurutnya, masalah itu dapat diselesaikan sekiranya projek rancangan tebatan banjir (RTB) Sungai Kesang dapat disiapkan dengan segera.

“Saya telah minta laporan penuh daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka bila projek ini boleh selesai. Saya tidak pasti ada masalah atau tidak kerana (projek) melibatkan sempadan Melaka dan Johor.

“Saya berharap para penduduk di kawasan terlibat boleh memberi sedikit masa kepada kerajaan negeri untuk kita selesaikan isu ini,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya