KOTA KINABALU: Polis Sabah bersiap-siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan ancaman pihak luar susulan kemenangan Malaysia menolak permohonan untuk menguat kuasakan final award timbang tara yang dituntut oleh pihak mendakwa waris Kesultanan Sulu.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya sentiasa memantau perkembangan isu tuntutan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu dan akan memastikan apa juga perkembangan terbaharu, PDRM akan meningkatkan penugasan anggota di sempadan negara.
Ketika ini, PDRM Sabah dan juga agensi keselamatan lain berada pada tahap paling siaga.
“Kita akan memastikan apa juga perkembangan, kita akan menambah penugasan (anggota) dan membuat perancangan baharu untuk seimbangkan berita-berita terkini dengan penugasan kita.
“Oleh itu, orang ramai tidak perlu risau kerana pihak keselamatan akan memberi perkhidmatan terbaik untuk menangani isu-isu berkenaan,” katanya selepas majlis serah terima tugas jawatan Ketua Polis Daerah Penampang dan Pengerusi Perkep Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, hari ini.
Beliau berkata, rondaan di kawasan perairan Sabah juga sentiasa dikekalkan dan pada masa sama, risikan akan terus dipertingkatkan bagi mendapatkan maklumat serta apa juga perkara yang dilihat di luar daripada kebiasaan.
Pada Selasa, Mahkamah Rayuan Belanda menolak permohonan pihak yang mendakwa waris Kesultanan Sulu untuk menguat kuasakan final award timbang tara
Pada masa sama, polis Sabah juga bekerjasama dengan agensi keselamatan negara jiran bagi menjalankan pemantauan di kawasan perairan dan sekiranya berlaku perkara yang di luar kebiasaan, polisakan membuat susulan secara mendalam.
Mengenai cadangan menarik balik arahan perintah berkurung di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone), Jauteh berkata, sebelum ini bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani telah mencadangkan untuk mengecilkan kawasan perintah berkurung.
Malah, turut dicadangkan agar daerah Tawau dikeluarkan daripada kawasan perintah berkurung. Pelaksanaan ini masih menunggu keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Dalam majlis itu, Jauteh menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Penampang antara Superitendan Mohd. Haris Ibrahim kepada Deputi Superitendan Sammy Newton yang akan memangku tugas Ketua Polis Daerah Penampang sehingga lantikan ada baharu dibuat.
Mohd. Haris yang bertugas di IPD Penampang selama lebih enam tahun dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Kudat yang baharu.- UTUSAN