Isu rasuah KLIA: SPRM sudah ambil 14 keterangan individu

Isu rasuah KLIA: SPRM sudah ambil 14 keterangan individu

AZAM Baki (duduk tengah) bergambar dengan pengamal media selepas program pemantapan rakan strategik media SPRM di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan sudah mengambil keterangan daripada 14 individu berhubung dakwaan isu rasuah di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, individu tersebut termasuklah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, dua wanita warga China dan lapan kakitangan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Beliau berkata, pihaknya juga sudah mengenal pasti individu ejen yang membawa masuk warga China ketika insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini.

“Kami juga tidak menolak kemungkinan ejen yang meminta suapan sebanyak RM18,000 itu masih berada di dalam negara ini dan kami sedang giat memburunya.

“Suspek juga dipercayai bekerja dengan sebuah syarikat menguruskan kemasukan pelancong yang bertempat dalam premis di KLIA.

“Syarikat ejen pelancongan tersebut dipercayai telah beroperasi di dalam premis KLIA sejak 2017 bagi menguruskan tiket kapal terbang dan makan minum kepada kumpulan pelancong yang hadir ke Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar majlis penutup Program Pemantapan Rakan Strategik Media SPRM di sini, hari ini.

Katanya, pihaknya turut mengesyaki ejen yang menguruskan kemasukan warga China tersebut juga adalah dari China kerana menggunakan bahasa mereka sendiri dan berhubung secara WeChat.

Azam berkata, pihaknya turut meneliti sistem prosedur berhubung pengeluaran Not-To-Land (NTL) dikeluarkan JIM dan apakah proses perlu dipatuhi oleh warga asing.

Menurutnya, wanita warga China tersebut bersama rakannya telah pun kembali ke China hari ini selepas keterangan lengkap diambil.

Selain itu, katanya, SPRM juga akan memanggil keterangan beberapa pihak lain termasuk Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan syarikat yang menguruskan NTL itu.

Sebelum ini, media melaporkan SPRM akan menyiasat dakwaan King Sing berkaitan kewujudan isu rasuah di balai ketibaan KLIA selepas beliau didakwa menceroboh masuk ke balai ketibaan KLIA bagi melepaskan seorang pelawat China yang ditahan Jabatan Imigresen.

Ekoran laporan itu, King Sing mengakui dirinya adalah menteri yang dikaitkan dengan kejadian itu dan mendakwa kehadirannya telah membongkar kewujudan budaya rasuah dilakukan segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya