SHAH ALAM: Rakyat di keenam-enam negeri terlibat Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogis ini dinasihat tidak bimbang dengan cetusan gelombang hijau kerana Perikatan Nasional (PN) yang akan menyertainya sebagai gabungan, bukan parti tunggal Pas.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berbanding gelombang parti, perkara lebih wajar dibimbangi adalah isu kos sara hidup dan pertumbuhan ekonomi yang sedang didepani rakyat.
Menurutnya, Malaysia sebagai sebuah negara berbilang bangsa dan sudah lama terbina, justeru perkara itu tidak wajar dibahaskan lagi apabila kerajaan termasuk PN ketika dibentuk dahulu atas dasar demokrasi yang wakil rakyatnya dipilih oleh pengundi pelbagai kaum.
“Di luar sana isu ini membara, saya berjumpa di luar sana banyak orang marah, bukan kecewa, tetapi marah, itu reaksi kepada apa yang kerajaan pada hari ini gagal lakukan seolah-olah mereka tidak tahu bagaimana menguruskan negara.
“Jadi, persoalan pokok sekarang, ini kuncinya. Maknanya kalau kita (PN) kembali sebagai kerajaan esok, kita akan berdepan dan selesaikan isu ini secepat mungkin. Kos sara hidup ini perkara pokok, semua orang complain harga barang mahal, semua harga naik, apa yang turun, hujan sahaja,” katanya pada Konvensyen Profesional Malaysia 2.0, hari ini.
Dalam sesi dialog itu, Muhyiddin dilihat berterusan mengkritik kerajaan apabila gagal menangani masalah ekonomi pasca pandemik yang menyebabkan kemunculan kluster masyarakat baharu iaitu B60 apabila mereka tergolong B40 sebelum ini mengalami penguncupan pendapatan.
Menurutnya, 40 peratus daripada B40 sebelum ini jatuh pada kategori tersebut dan menggesa kerajaan mengutamakan kumpulan masyarakat tersebut berbanding kumpulan profesional seperti T20.
“Maknanya, kalau itulah jadi 40 peratus of the population itu sudah jatuh pada kategori itu, apa yang kerajaan buat. Itu sebabnya dealing with the majority first, not the professionals are not important.
“They are important, but most important is about these people yang pendapatan mengecil, mengecut harga barang melambung, anda nampak apa yang kerajaan hari ini buat? Perdana Menteri cakap tunggu sehingga Ogos. Kita sudah tunggu sejak mereka (PH) jadi Perdana Menteri. Justeru, sebagai rakyat biasa pun saya tak boleh tunggu lagi, saya betul-betul marah,” tegasnya. – UTUSAN