PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) menyerahkan sepenuhnya siasatan insiden remaja mencekik adik sendiri sehingga mati di Melaka, semalam kepada pihak berkuasa termasuk melihat kemungkinan wujud unsur buli di sebalik kejadian itu.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, kes itu masih lagi dalam siasatan dan pihaknya tidak dapat menentukan adakah itu (kesan buli) punca sebenar insiden berkenaan.
“Jika betul ada isu buli, kami tidak akan kompromi. Namun, ia mesti melalui proses dan aduan perlu dibuat kepada KPM menerusi portal aduan buli.
“KPM tidak akan tolak ansur berkenaan sebarang isu buli, malah saya minta semua ambil perhatian bagi memastikan setiap aduan buli diambil serius,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis Anugerah Sukan KPM-MSSM-MILO 2022, di sini hari ini.
Fadhlina berkata demikian selepas diminta mengulas kenyataan bapa remaja berkenaan yang mendakwa anaknya bertindak sedemikian kerana pernah dibuli di sekolah.
Sebelum ini, bapa remaja itu, Najli Yakob, 42, mendakwa anaknya itu sering menjadi mangsa buli pelajar senior sekolah asrama sejak tahun lalu dan ia mendorong kepada insiden berkenaan.
Najli turut mendakwa pernah mengadukan hal itu kepada pihak sekolah, malah sudah membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan diambil sehingga ke hari ini.
Sementara itu, Fadhlina berkata, beliau juga memohon kepada orang awam supaya menghormati keadaan keluarga itu ketika ini termasuk tidak menularkan maklumat terutama nama dan gambar remaja itu.
“Kita minta semua untuk mematuhi undang-undang sedia ada dan tidak berkongsi apa-apa maklumat mengenai remaja itu.
Media semalam melaporkan kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut dipercayai dicekik oleh abangnya di rumah mereka di Kampung Bukit Piatu, Melaka.
Remaja yang belajar di sebuah sekolah agama di Alor Gajah itu direman selama tujuh hari mulai hari ini hingga 12 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah. – UTUSAN