Isu 40 peratus hasil negeri Sabah selesai setahun dari sekarang

Isu 40 peratus hasil negeri Sabah selesai setahun dari sekarang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Sabah memaklumkan isu pemberian 40 peratus hasil negeri yang dikutip Kerajaan Persekutuan dan dipulangkan semula kepada negeri itu dijangka dicapai dalam tempoh satu tahun akan datang. 

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, ramalan itu selepas Jawatankuasa Teknikal Perjanjian Malaysia 1063 (MA63) bersetuju menerima pakai resolusi berkenaan. 

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berjanji menunaikan hak perlembagaan negeri Sabah yang telah tertunggak sejak sekian lama. 

“Rakyat Sabah telah menunggu lebih setengah abad untuk detik ini, dan ia tanggungjawab kita (kerajaan) untuk memastikan penantian ini tidak terus berpanjangan. 

“Oleh sebab itu, satu resolusi kepada kutipan hasil negeri 40 peratus dijangka dicapai dalam satu tahun akan datang,” katanya dalam kenyataan baru-baru ini.

Pada Jun 2022, Pakatan Harapan (PH) Sabah memulakan tindakan undang-undang dan menamakan Kerajaan Malaysia sebagai defendan pertama dan Kerajaan Negeri Sabah sebagai defendan kedua berhubung tuntutan 40 peratus hasil negeri yang dikutip kerajaan Persekutuan. 

Berdasarkan saman pemula diterima Utusan Malaysia, plaintif menyatakan, dalam pembentukan Malaysia, terdapat keperluan untuk mengiktiraf dan memenuhi kedudukan istimewa Sabah dan peruntukan khas yang tidak terdapat kepada 11 lagi negeri Semenanjung dalam Persekutuan Tanah Melayu, disebabkan saiz geografi Sabah, keunikan etnik dan agama serta masalah pembangunan.

Kata kenyataan itu, salah satu peruntukan khas untuk Sabah ialah peruntukan kewangan khas di bawah Perkara 112C dan seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan. 

Ia memperuntukkan hak istimewa bagi Sabah untuk menerima geran khas sebanyak dua perlima atau 40 peratus daripada jumlah hasil bersih yang diperoleh oleh Persekutuan daripada Sabah. Selain itu, Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan semakan semula pemberian khas.

Jelasnya, pada 1 Disember 1969, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah bersetuju untuk kajian semula menurut Perkara 112D bahawa untuk tempoh lima tahun dari 1969 hingga 1973, Kerajaan Persekutuan akan berhenti membuat pembayaran kepada 40 peratus kelayakan Sabah di bawah seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh. 

Tetapi, sebaliknya hendaklah membuat pembayaran dalam bentuk pemberian lain (khas) untuk tempoh lima tahun bagi tahun 1969, 1970, 1971, 1972 dan 1973 masing-masing berjumlah RM20 juta, RM21.5 juta, RM23.1 juta, 24.8 juta dan 26.7 juta. 

Jumlah itu dianggap mencerminkan dan sama dengan jumlah dua perlima atau 40 peratus daripada hasil bersih diperoleh oleh Persekutuan bagi lima tahun, masing-masing yang juga dikenali sebagai Perintah Pemberian Khas Sabah (Semakan Pertama), 1970 (P.U. (A) 328/1970 bertarikh 18 Ogos 1970). 

Namun, kata saman pemula itu, tiada semakan lain dibuat di bawah Perkara 112D selepas tamat tempoh lima tahun Kajian Pertama walaupun Perkara 112D memperuntukkan bahawa semakan hendaklah dibuat pada 1974. 

Katanya, memandangkan tiada semakan dibuat, Kerajaan Persekutuan membayar Sabah sejumlah RM26.7 juta setahun sejak 1974 hingga 2021 dan akibatnya, Sabah dan rakyatnya dinafikan hak perlembagaan yang melanggar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). 

Pada 14 April 2022, kerajaan mengumumkan bahawa kajian semula di bawah Perkara 112D dipersetujui menyaksikan Kerajaan Persekutuan akan memberi Sabah geran khas untuk tempoh lima tahun bermula dari 2022 hingga 2026 dan Sabah akan menerima RM125.6 juta bermula 2022. 

Kata kenyataan itu lagi, jumlah yang telah dipersetujui adalah tidak berdasarkan kelayakan 40 peratus Sabah di bawah seksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan. –UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya