PETALING JAYA: Isu agama, raja dan kaum (3R) akan terus dimainkan menjelang pilihan raya negeri (PRN) selagi mana ahli-ahli politik masih tidak ‘matang dan cerdik’ dalam mengaut mahupun meraih undi serta kepercayaan masyarakat.
Penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berkata, isu 3R gemar dimainkan ahli politik kerana ia adalah perkara yang disukai oleh penyokong mereka sendiri sehingga sanggup berkempen dengan menghina.
Sehubungan itu kata beliau, perbuatan tersebut akan terus dimainkan dan menjadi amalan ahli politik semasa berkempen untuk pilihan raya.
“Isu 3R ni bukan mereka (ahli politik) nak ambil berat sangat tak kira mana-mana parti tetapi apabila mahu mengaut ‘untung’ semasa pilihan raya. Masa itulah mereka tiba-tiba menyemarakkan hak orang Melayu, raja dan agama.
“Walhal, selepas mendapat pemerintahan mereka ini tidak hairan dengan tiga perkara tersebut. Jadi pada saya, memang inilah tradisinya yang sejak 10 tahun kebelakangan ini isu 3R sering dimainkan.
“Selepas dimainkan, minta maaf. Ia sudah menjadi amalan yang apabila kita tidak ada tindakan keras atau betul-betul boleh memberi pengajaran maka perkara ini akan berulang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor memohon ampun dan maaf kepada Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataan beliau yang didakwa memperlekeh baginda dalam pemilihan Menteri Besar Selangor.
Menurutnya, beliau mengutuskan surat kepada Sultan Selangor untuk menjelaskan konteks, maksud sebenar dan medan yang tercangkup daripada ucapan yang didakwa sengaja diputar belit itu.
Mengulas mengenai perkara tersebut, Dr. Salawati berkata, tindakan memohon maaf melalui perutusan surat dan kemudian dimuat naik di laman media sosial adalah tindakan yang tidak wajar.
“Minta ampun, minta maaf pun muatnaik dalam Facebook dan sebagainya. Jadi perkara ini sudah tidak eksklusif. Kita dengan raja-raja ada lain adabnya, apabila kita dah menghina raja-raja spesifik pulak tu, kita kena mohon ampun secara beradab. Kena pergi menghadap.
“Ini saya kata, susah mencari ahli politik yang cerdik dalam melakukan tindakan. Mereka sepatutnya sebelum bercakap perlu berfikir dahulu,” katanya. – UTUSAN