Istiqamah pakai topeng, Bandi Amuk tolak permintaan demi wang

Istiqamah pakai topeng, Bandi Amuk tolak permintaan tanggalkan demi wang ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELEPAS lebih 25 tahun, imej bertopeng terus sinonim dengan vokalis Amuk, Bandi. Hadirlah seberapa ramai penyanyi bertopeng sekalipun, imej tersebut tetap melekat pada pemilik nama sebenar Nashabandi Jumat.

Bagi penyanyi berusia 55 tahun itu, topeng yang dipakai bukan sekadar imej, malah satu perjuangan. Disebabkan itu, sehingga hari ini, Bandi istiqamah memakai topeng dan menolak permintaan untuk menanggalkannya.

“Bukan mudah saya perjuangkan imej ini. Banyak tohmahan dan kejian saya terima termasuklah dianggap gila dan tidak siuman ketika memperkenalkannya awal dahulu.

“Sekarang, topeng ini sebati dengan saya dan masyarakat kenal Bandi dengan imej begini.

“Saya ikhlas perjuangkannya dari dulu lagi. Bukan apa, saya suka dan mahu tampil berbeza. Alhamdulillah, selepas lebih dua dekad, saya masih diterima dengan imej begini,” katanya.

Bandi melangkah masuk dunia muzik sekitar 1983 selaku vokalis kumpulan D’Febians. Dia pada ketika itu dikenali sebagai Nasha Febians.

Namun selepas empat album bersama kumpulan tersebut, Bandi mengundur diri dan menubuhkan kumpulan Amuk pada tahun 1998.

Kata Bandi, tawarlah habuan selumayan mungkin, dia tidak akan sesekali meninggalkan imej yang tersebut. Dalam lakonan sekalipun, Bandi tetap meletak syarat, hanya mahu membawakan watak yang sinonim dengan imej bertopengnya.

“Saya lega, semua watak yang saya lakonkan sebelum-sebelum ini tidak memerlukan saya untuk membuka topeng.

“Dalam lakonan, saya letak syarat, mesti pakai topeng walau apa juga watak diberikan. Saya pentingkannya dan tak mahu ubah apa-apa. Rugi saya buka topeng kerana wang ringgit,” ujarnya.

SEBAHAGIAN AMUK

DALAM perkongsian, Bandi sempat mengulas tentang isu pemilikan kumpulan Amuk yang pernah dipolemikkan sebelum ini.

Kesal dengan perkara tersebut, Bandi berharap individu terbabit tidak lagi sewenang-wenangnya membuat dakwaan Amuk sebagai kepunyaannya.

“Amuk adalah Bandi, Bandi adalah Amuk. Hakikat itu tidak boleh dipertikai kerana perjanjian awal mengesahkan saya sebagai sebahagian Amuk.

“Saya kesal apabila muncul pihak lain yang tampil membuat dakwaan kononnya Amuk kepunyaannya sedangkan dia tak tahu, penubuhan Amuk adalah idea saya dan sahabat, arwah Azmi.

“Imej, karakter dan nyanyian Amuk dicipta saya dan arwah Azmi. Manakala muzik idea Bong. Pihak yang cuba pertikaikan pemilikan Amuk itu tidak tahu cerita sebenar,” jelasnya.

SEMANGAT ZAMAN 

Lama tidak membuat konsert, Bandi, pada 29 September depan akan membuat persembahan sempena Konsert Semangat Zaman Ulang Tahun ke-20 bertempat di Zepp, Kuala Lumpur.

Bandi meluahkan rasa teruja kerana bakal berkongsi pentas dengan Rockers tersohor seperti Datuk Nash, Aris Ariwatan, Joey, Muss, Rahmad Mega dan ramai lagi.

“Agak lama saya tidak membuat persembahan dalam sebuah konsert besar kerana saya banyak memberi tumpuan kepada persembahan sempena karnival dan kerja-kerja lakonan saya.

“Jadi saya sangat gembira dan berbesar hati apabila diberi peluang membuat persembahan sempena konsert ini. Saya amat menghargai peluang yang diberikan ini.

“Saya dimaklumkan saya antara artis yang dimahukan pihak penganjur. Saya sangat bersyukur kerana masih relevan,” jelasnya.

Kata Bandi, konsert tersebut bakal menjadi antara yang paling bermakna, yang simbolik kepada nilai persahabatan mereka.

“Saya pernah berkongsi pentas dengan hampir kesemua Rockers yang bakal membuat persembahan dalam konsert ini nanti. Jadi, boleh dikatakan kami semua serasi di atas pentas.

“Kami ibarat saudara dan kerana itu, konsert ini nanti akan menjadi antara yang paling bermakna buat penggemar-penggemar kami,” jelasnya.

JAGA SOLAT, ZIKIR

“TAK ada rahsia, cuma jaga solat, amal zikir dan doa-doa tertentu,”

Itu perkongsian Bandi saat ditanya tentang rahsia masih relevan dan diterima peminat selepas 25 tahun dalam industri.

Katanya, dia terbuka berkongsi amalan-amalan tersebut kerana baginya ia satu kewajipan sebagai seorang Muslim.

“Selain itu, ada surah-surah tertentu yang saya amalkan selepas Subuh, contoh seperti Al-Mulk dan Al-Waqiah. Saya juga jaga solat sunat Dhuha setiap pagi.

“Kalau orang tanya, inilah jawapan saya berikan. Sekadar perkongsian, bukan nak tunjuk baik atau mahu bersikap riak. Tapi ia terbukti,” katanya.

Kata Bandi lagi, dia mahu menggunakan kelebihan dan keistimewaan yang dikurniakan Tuhan sebagai cara untuk mengingatkan masyarakat tentang agama dan tuntutannya.

“Setiap kali membuat persembahan, saya akan berpesan kepada penonton agar jaga solat, hormat ibu bapa dan jangan bersikap sombong.

“Sebagai Muslim, inilah tanggungjawab saya. Saya tidak mahu disoal di akhirat kelak,” jawabnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya