Ismahalil bebas tuduhan edar kanabis

Ismahalil bebas tuduhan edar kanabis

ISMAHALIL Hamzah diapit isterinya, Nor Haslinda Abdul Manaf (kiri) dan anaknya keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas dibebaskan daripada tuduhan mengedar dadah. - UTUSAN/M. FIRDAUS M. JOHARI.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskan bekas penyampai radio (DJ), Ismahalil Hamzah daripada pertuduhan mengedar dadah di rumah sewanya di Jalan Semarak, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian selepas berpuas hati pihak pembelaan berjaya membuktikan kesnya melampaui tahap keraguan munasabah.

Pengasas stesen radio ‘Bapakku FM’ itu kelihatan menangis dan membuat sujud syukur sebaik sahaja hakim berkenaan selesai mengumumkan keputusannya dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga dan rakannya yang mengikuti prosiding berkenaan.

Mahkamah berpendapat, pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa dadah itu dalam kawalan serta milikan Ismahalil kerana bilik berkenaan turut boleh diakses oleh orang lain termasuk krew stesen radio itu.

“Keterangan menunjukkan bukan tertuduh seorang yang boleh mengakses bilik berkenaan,” ujar Hakim Muhammad Jamil ketika membacakan keputusannya.

Ismahalil, 50, didakwa mengedar kanabis seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021. Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup (life imprisonment) dan jika bukan hukuman mati, hendaklah juga dikenakan sebatan minimum 12 kali. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Raya Noor Dayana Mohamad manakala tertuduh diwakili oleh peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar.

Pada 30 Mei lalu, Ismahalil yang merupakan saksi pembelaan pertama memberitahu mahkamah, bilik tingkat atas kediamannya di Jalan Semarak iaitu tempat dadah ditemukan ketika serbuan polis, bukan digunakannya secara eksklusif, sebaliknya turut diakses oleh pihak lain.

Ismahalil menjelaskan, bilik tersebut turut digunakan oleh sekumpulan DJ dan krew stesen radio swasta itu sebelum menunggu giliran untuk `on air’ selain turut menjadi ruang persinggahan pihak pengurusan kedai dan tetamu.

Sementara isteri tertuduh, Nor Haslinda Abdul Manaf, 50, yang merupakan saksi pembelaan keempat ketika memberi keterangan turut menyatakan bilik berkenaan digunakan oleh pihak lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN