Integriti perlu jadi keutamaan, budaya warga polis - KPN

Integriti perlu jadi keutamaan, budaya warga polis – KPN

RAZARUDIN Husain (barisan depan, lima dari kiri) bersama para pegawai kanan polis ketika melafazkan ikrar taat setia sempena perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aspek integriti kekal menjadi keutamaan dan fundamental yang perlu menjadi budaya seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menegaskan perkara itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, setiap warga polis perlu menjiwai, menghayati dan membudayakan nilai integriti dalam setiap aspek penugasan.

Tegas beliau, integriti yang utuh akan menjadi benteng daripada terjebak melakukan kemungkaran sekali gus dapat mengecilkan dan menutup segala ruang melakukan rasuah.

Beliau mengingatkan kepada pegawai dan anggotanya agar menghargai dan memelihara profesion mereka dengan sebaik-baiknya dan jangan memusnahkannya dengan menggadai maruah diri, bersekongkol dengan sindiket-sindiket penipuan, perjudian haram, pelacuran, kongsi gelap serta dadah, walaupun sudah jelas hukumnya di sisi agama.

“Saya ingin mengingatkan diri saya dan kepada semua hadirin agar sentiasa mencerminkan nilai integriti sama ada melalui penampilan, sikap atau sebarang keputusan yang diambil.

“Sesungguhnya, kita telah ditakdirkan untuk menjadi seorang pegawai polis dan ia merupakan satu profesion yang amat mulia. Kita diberi peluang untuk berjihad di jalan Allah melalui tanggungjawab hisbah kita sebagai khalifah di muka bumi ini untuk menegakkan yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar,” katanya ketika berucap dalam perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Razarudin turut mengingatkan kerja yang dilakukan warga polis bukan semata-mata untuk mendapatkan gaji bagi kelangsungan hidup, namun mereka perlu mencari keberkatan dalam rezeki yang halal.

“Insya-Allah, dengan rezeki yang berkat kita akan sentiasa diberikan kecukupan dalam segala hal. Untuk itu, marilah kita saling ingat-mengingati sesama kita dan dalam masa yang sama, sentiasa menjaga keharmonian dalam pasukan. Pasakkanlah nawaitu untuk terus memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berintegriti,” tegasnya.

Dalam pada itu, Razarudin juga berbesar hati menyampaikan Sijil Penghargaan kepada 15 orang pegawai polis dan pegawai awam dari semua jabatan yang telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam perkhidmatan masing-masing.

“Semoga penganugerahan ini menjadi inspirasi kepada warga PDRM lainnya untuk terus menabur khidmat bakti dengan cemerlang demi pasukan yang kita cintai ini. Tahniah dan syabas saya ucapkan kepada semua penerima,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya