PUTRAJAYA: “Cukup lah apa yang saya dah sebut semalam, ini bukan kali pertama pelajar IPG (Institut Pendidikan Guru) tak dapat (eBelia Rahmah), sebelum ini pun tak dapat juga,” kata Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Pada masa sama, Ahmad turut mengulangi penjelasannya bahawa kelompok berkenaan tidak mendapat kemudahan tersebut kerana mereka menerima elaun bulanan sebanyak RM450.
“(Mengenai pelajar Mara terima eBelia) adakah (yang diterima itu) elaun atau itu pinjaman (dari Mara)? Itu berbeza, kalau pinjaman mereka perlu bayar (semula), elaun ini tidak perlu dibayar semula itu yang saya difahamkan.
“Tapi menjawab dengan Syed Saddiq ini saya rasa tak adalah sesuai sangat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Daging Korban kepada Kumpulan Sokongan 2 Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Semalam media melaporkan, ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mempersoalkan tindakan kerajaan memberi layanan berbeza kepada sebahagian pelajar berhubung inisiatif eBelia Rahmah.
Perkara tersebut dibangkitkan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu apabila penuntut IPG dilaporkan tidak menerima manfaat inisiatif tersebut. – UTUSAN