Inflasi: Ubah polisi, jangan terlalu bergantung bekalan makanan import - Utusan Malaysia

Inflasi: Ubah polisi, jangan terlalu bergantung bekalan makanan import

MOHIDEEN ABDUL KADER
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan mengubah dasar negara supaya tidak lagi terlalu bergantung kepada bekalan makanan import semata-mata.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader berkata, Malaysia tidak lagi boleh menjadi negara pengimport makanan pada masa depan memandangkan rakyat akan berdepan impak buruk daripada amalan berkenaan dalam tempoh jangka masa panjang.

Jelas beliau, CAP telah menyuarakan hal itu sejak berpuluh-puluh tahun lalu selain menggesa kerajaan mencari jalan supaya Malaysia menjadi negara yang mengeluarkan bekalan makanan sendiri.

”Malangnya, perkara ini tidak diambil perhatian serius oleh pembuat dasar negara dan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang mementingkan sektor industri dan negara yang mengeluarkan tanaman kontan seperti getah dan kelapa sawit sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai harga barangan pengguna yang dijangka meningkat sehingga 20 peratus menjelang Oktober tahun ini dengan didorong dua faktor utama iaitu inflasi import dan peningkatan kos operasi perniagaan di Malaysia.

Presiden Dewan Perniagaan dan Industri India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI), R. Nivas berkata, pihaknya mengesan peningkatan 20 peratus kos pengeluaran dan operasi dalam kalangan ahli KLSICCI sejak Januari lalu.

Menurut Mohideen, kerajaan perlu memberi tumpuan kepada pelaburan dalam sektor pertanian serta penternakan supaya negara kurang bergantung kepada bekalan makanan import.

”Bayangkan makanan untuk ternakan ayam pun kita terpaksa import dari luar negara sedangkan bukan sesuatu yang sukar untuk negara ini menghasilkan makanan untuk ayam.

”Namun, kerana industri ternakan ayam dimonopoli beberapa golongan yang mengawal import makanan dari luar negara menyebabkan kita sangat bergantung kepada bekalan makanan dari negara lain,” katanya.

Dalam pada itu, tambah beliau, bagi jangka masa pendek kerajaan disarankan mengambil langkah segera mengawal kejatuhan ringgit bagi mengurangkan kesan kenaikan harga bekalan makanan import. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya