KUANTAN: Tiada peneroka Felda di 317 tanah rancangan di negara ini akan bebas daripada berhutang kerana setiap bulan ada kos-kos tertentu perlu dibayar mereka yang ditolak daripada bayaran gaji.
Antara kos yang perlu dibayar adalah kos operasi, tuai, angkut buah, baja dan kos membaiki jalan pertanian.
Difahamkan semua kos terbabit merupakan hutang peneroka kerana ia dipotong terlebih dahulu oleh Felda sebelum baki sebenar diberikan kepada warga tanah rancangan itu.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, setiap kos terbabit berbeza kadar bayarannya.
“Kos operasi antara RM250 ke RM300 satu tan metrik, kos baja RM800 ke RM900 sebulan.
“Jika ditambah semua kos tersebut, purata kadar potongan setiap peneroka antara RM1,000 ke RM2,000 seorang,” katanya.
Jelasnya, sukar untuk warga peneroka Felda bebas daripada belenggu hutang.
“Selagi berada di tanah rancangan dan bersama Felda, setiap bulan akan hutang yang perlu dibayar dan kadarnya berbeza setiap peneroka,” katanya.
Ditanya adakah masih ada rungutan warga peneroka tentang keraguan potongan hutang yang dibuat Felda, beliau berkata, ada rungutan.
Dalam pada itu, lebih 200 peneroka di Felda Perasu dekat Gua Musang, Kelantan mendakwa, mereka masih membuat pembayaran hutang RM200 ke RM300 setiap bulan meskipun kerajaan janjikan hutang Felda berjumlah RM8.3 bilion sudah dilupuskan sejak dua tahun lalu.
Beberapa peneroka mendakwa, mereka tidak pernah menerima sebarang penyata hutang sejak mendiami rancangan tanah itu lebih 35 tahun lalu.
Seorang peneroka, Mohamad Zin Hassan, 73, berkata, kebanyakan peneroka di kawasan itu ketika ini bingung dan tidak faham tentang status hutang mereka. – UTUSAN