Hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat punca kepala air - Utusan Malaysia

Hujan lebat luar biasa dalam tempoh singkat punca kepala air

HASSAN 'As'ari Omar (kanan) berbincang pegawainya bagi mengatur strategi operasi mencari dan menyelamat mangsa tragedi kepala air di Pusat Kawalan Operasi, Balai Polis Air Putih, Kemaman, hari ini. - UTUSAN/ NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Hujan lebat luar biasa yang berlaku dalam tempoh yang singkat pada Sabtu lalu dipercayai menjadi punca utama berlakunya tragedi kepala air di Jeram Mawar, Air Putih, dekat sini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Hassan ‘As’ari Omar berkata, taburan hujan yang direkodkan kira-kira pukul 5 petang ketika kejadian berlaku adalah sebanyak 106.5 millimeter (mm), meningkat berganda berbanding hari biasa yang dicatatkan di daerah ini.

“Berdasarkan rekod cerapan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), hujan yang berlaku beberapa hari sebelum kejadian hanya 0.5 milimeter hingga 0.9 milimeter, namun pada hari kejadian, hujan terlalu ekstrem berlaku.

“Kita percaya, kekuatan air ini cukup ganas, yang mana hujan ekstrem ini menyebabkan kawah yang terbentuk di kawasan air terjun melimpah dan membawa sisa-sisa kayu besar dan batu besar ke Sungai Teladas,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Kawalan Operasi di Balai Polis Air Putih, hari ini.

Hassan ‘As’ari berkata, arus deras air Sungai Teladas yang mengalir dengan membawa bongkah-bongkah kayu dan batuan berkemungkinan menghempap 10 mangsa yang dipercayai sedang mandi dan berehat di kawasan jeram itu.

“Berdasarkan pemantauan di lokasi kejadian, pihaknya percaya paras air meningkat mendadak mencecah lima hingga 10 meter, sekaligus menyukarkan mangsa untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5 hingga 6 petang pada Sabtu lalu, sembilan sekeluarga dari Felda Lepar Hilir, Pahang termasuk seorang bakal menantu ahli keluarga itu dari Batu Pahat, Johor dihanyutkan kepala air berikutan hujan lebat berlaku.

Setakat pukul 4 petang ini, lapan mangsa telah ditemukan sejak hari Ahad lalu.

Lapan mangsa yang ditemukan ialah Karim Abdullah, 39, dan isterinya, Azizah Eiyi, 40, serta empat anak mereka iaitu Muhammad Zulqarnain Haikal Karim, 11, Putri Nurerina Natasya,10, Muhammad Haziq Ziqree Karim, 6, dan Putri Aryana Umaira Karim, 4.

Sementara itu, Putri Balqis Izzati Abdul Rahman, 18, dan adik tirinya, Putri Alleya Maisarah, 16, ditemukan hari ini.

Dua lagi mangsa yang belum ditemukan iaitu Putri Nor Fatin Karim, 14 dan tunang kepada Putri Balqis Izzati, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya