KUALA LUMPUR: Pelawak dan penyampai radio, Shuib,39, bertegas untuk tidak memberi muka kepada individu yang telah menabur fitnah mengenai dirinya termasuk Allahyarham isteri, Siti Sarah Raisuddin berhubung kaitan organisasi Freemason.
Tetap dengan pendirian, Shuib, atau nama sebenarnya Shahmira Muhammad, menyifatkan tindakan beberapa individu yang melakukan fitnah tersebut sebagai melampau dan maaf bukan jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini.
“Saya anggap benda ini melampau. Arwah Siti Sarah meninggal dunia di hospital, ada doktor dan jururawat yang pantau dan buat post mortem. Saya perlu betulkan keadaan ini kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan apalagi bila semua orang tahu sayalah orang pertama dan terakhir bersama dengan arwah di hospital.
“Saya memang tak akan beri muka kepada individu yang telah membuat kenyataan bodoh seperti ini. Bila saya cari setiap satu, masing-masing padam hantaran di media sosial.
“Kalau rasa perkara yang anda kongsikan itu ada asas, kenapa perlu padamkan? Keluarga, malah anak-anak saya pun pandai baca dan tentunya bertanya pada saya. Benda ini nampak mudah, tetapi sampai melibatkan kematian arwah, saya memang nak bawa hal ini pergi jauh,” katanya.
Shuib berkata demikian pada sesi sidang akhbar yang diadakan di kedai minuman miliknya, di sini, hari ini.
Pada sesi yang sama, Shuib turut bertemu dengan seorang daripada individu yang dikesan telah memuat naik perkara berkenaan di media sosial.
Individu tersebut yang dikenali sebagai Zulhairy, hadir bagi memberi penjelasan selain meminta maaf sebagai tanda penyesalan.
Sementara itu, ditanya sama ada Shuib akan bertemu dengan individu lain yang membuat fitnah yang sama, pelawak berkenaan menolak untuk berbuat demikian.
“Saya hargai usaha Zulhairy yang angkat panggilan telefon saya dan hadir bertemu saya pada hari ini bagi menguraikan isu. Bagaimanapun, untuk individu lain terutama pengguna media sosial yang dikenali dengan nama John Dihani, saya tidak akan maafkan.
“Biarlah peguam saya saja yang cari dia dan undang-undang yang jalankan kerja,”katanya.
Awal pagi semalam, Shuib meluahkan rasa berang dengan tuduhan melampau seorang individu di laman sosial selain bertegas mahu mencari individu terbabit sampai ke lubang cacing demi mendapatkan keadilan.
Malah, Shuib memaklumkan akan menggunakan saluran undang-undang terhadap pemfitnah yang menuduh Siti Sarah dipaksa untuk ditidurkan ketika dijangkiti Covid-19 dan meninggal dunia pada 9 Ogos 2021.
Dalam tulisan itu, individu tersebut turut mendakwa Freemason menggunakan artis untuk mempromosikan vaksin, selain menyatakan Shuib tidak boleh mengingkari arahan walaupun terpaksa mengorbankan keluarga sendiri.