PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berhasrat mahu menjadikan Minggu Sihat Program Promosi Kesihatan Institusi Pendidikan (HePiLI) sebagai acara berstruktur untuk remaja.
Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa ketika berucap menyempurnakan sambutan itu peringkat kebangsaan 2023 berkata, ia merupakan program berterusan mulai kanak-kanak sehingga remaja yang lebih memfokuskan peningkatan tahap literasi kesihatan dan perubahan tingkah laku.
Beliau berkata, HePiLI diadakan rentetan hasil siri Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan yang mendapati trend remaja tidak aktif fizikal meningkat tahun lalu.
“Pada 2017 hanya 50.1 peratus namun tahun lepas, angka ini melonjak kepada 66.7 peratus dalam kalangan remaja tempatan yang berumur 13 hingga 17 tahun,” katanya.
Sambutan minggu tersebut yang merupakan acara tahunan dilaksanakan dari 1 hingga 7 Julai ke arah pembudayaan hidup sihat untuk kali ini bertemakan ‘Kami Nak Hidup Sihat’.
Pelbagai pengisian aktiviti melibatkan penyertaan di seluruh negara antaranya Himpunan Virtual HePiLI yang berjaya disenaraikan pihak Malaysia Book of Records sebagai X-Break Mega bersama warga institusi pendidikan terbesar dalam sejarah.
Dalam pada itu, Zaliha berkata, dapatan kajian itu turut mendedahkan prevelan remaja obesiti atau berat berlebihan meningkat daripada 13.3 peratus pada 2017 kepada 14.3 peratus tahun lalu.
Ujarnya, dua daripada tiga remaja kini mengamalkan aktiviti sedentari iaitu duduk atau baring dalam jangka masa lama serta tidak aktif secara fizikal.
Justeru beliau berharap sambutan minggu tersebut akan dapat memupuk budaya aktif hidup sihat murid dalam usia muda dan mengukuhkan agenda kesihatan awam kebangsaan.
Zaliha memberi contoh aktiviti regangan ringkas atau X-Break yang dijadikan inisiatif bagi mengelakkan budaya sedentari selain meningkatkan imuniti tubuh badan generasi muda. – UTUSAN