Apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata, gaji lulusan program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu ditingkatkan antara RM2,500 hingga ke RM3,000 untuk memberi dorongan lebih banyak golongan muda menceburi bidang ini, tentunya ini satu langkah yang cukup baik.
Ketika ini dikatakan golongan lepasan TVET menerima gaji antara RM1,700 hingga RM2,000. Malah ada yang mendapat lebih rendah daripada itu, menyamai gaji lepasan sekolah.
Tetapi itulah, hakikatnya di negara ini lulusan universiti pun ramai dibayar gaji di bawah RM2,000.
Ini yang patut diambil peduli oleh Kementerian Sumber Manusia betapa cacamarbanya skim gaji di negara ini. Turunlah padang, pergilah dari sekecil-kecil syarikat hingga ke syarikat gergasi, pasti jumpa macam-macam skim gaji yang tak masuk akal.
Yang ada ijazah dibayar sama dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang berpengalaman kerja bertahun-tahun dan juga punya ijazah pun lebih kurang sama. Gaji eksekutif muda ada yang lebih kurang gaji pengawal keselamatan. Ini yang dikatakan ‘skim gaji asalkan bayar’. Dan pasti pihak kementerian akan jumpa ada majikan yang tidak mematuhi pun gaji minimum.
Kita harap bila kerajaan dapat berjumpa dengan pemain-pemain industri ini untuk membincangkan apa yang diharapkan oleh Perdana Menteri, ia akan dilaksanakan. Jangan pula bila sudah berjumpa majikan-majikan ini sembang lain pula. Gaji tetap macam itu juga. Konon jika dilaksanakan, banyak syarikat akan gulung tikar.
Jadikanlah saranan Perdana Menteri kita itu satu kenyataan. Perdana Menteri adalah kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia adalah kerajaan. Tentunya agak pelik jika hasrat kerajaan tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan sendiri.
Memang benar, golongan TVET tidak boleh dipandang rendah. Mereka ini mempunyai latihan kemahiran berdasarkan standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) yang dibangunkan bersama pihak majikan dan industri. Amat tidak patut juga, gaji pekerja asing pun lebih tinggi daripada mereka.
Sebelum ini pun, pada Mac lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar gaji permulaan sekurang-kurangnya RM3,000 untuk graduan perlu dilaksanakan bagi mengelakkan jurutera berhijrah ke luar negara.
Katanya, gaji permulaan itu adalah munasabah kerana mereka bukan pekerja biasa, mereka adalah pekerja terlatih dan sesuai dengan kehendak pasaran.
Lagipun, kalau ikut logiknya manalah cukup hidup dengan gaji RM1,800 tak kira di bandar atau luar bandar.
Kalau pemimpin politik dibayar gaji sebanyak itu, saya rasa mahu dia berhenti berpolitik. Bela ayam lagi bagus. Itu pun pening juga. Harga dedak sudah mahal sekarang ini.
Isu upah rakyat adalah perkara asas yang perlu ditangani segera. Rakyat bukan kisah pasal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan statistik pertumbuhan ekonomi negara. Jika itu tidak memberi kesan baik kepada kos sara hidup mereka, ia tidak memberi makna apa-apa kepada mereka.
Pada masa sama, perlu ada perbezaan gaji mengikut kelulusan akademik dan pengalaman, jika tidak ramai anak muda termasuk yang tua mahu kaya cepat dengan menjadi influencer di media sosial saja dengan konten yang merapu. Kita pun naik sakit mata tengok mereka terkinja-kinja tak tentu hala. – Mingguan Malaysia