Hasil sesi libat urus isu 3R dibentang ke Kabinet minggu ini - Utusan Malaysia

Hasil sesi libat urus isu 3R dibentang ke Kabinet minggu ini

AZALINA Othman Said beramah mesra dengan seorang peserta Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di Bertam Resort, Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Laporan hasil perbincangan Kumpulan Fokus dan Dialog Perundangan isu agama, bangsa dan institusi raja-raja (3R) akan dibentangkan pada mesyuarat Kabinet, minggu ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berpendapat, lebih banyak perbincangan perlu dijalankan bagi mengkaji isu berkenaan meliputi pelbagai aspek.

“Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keputusan Kabinet sama ada memerlukan pihak kami melakukan kajian lanjut atau sebaliknya.

“Insya-Allah, mesyuarat Kabinet minggu depan saya akan bentang kesimpulan (libat urus) tetapi bagi pandangan saya, kita perlu perbanyakkan lagi perbincangan.

“Kalau kita tak melihat pada aspek perpaduan dalam jangka masa panjang, nanti sentiasa akan wujud politik yang gunakan agama, bangsa dan institusi raja sebagai elemen ‘bullet’ (peluru) politik,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Konvensyen Komunikasi Media Madani: Komunikasi Strategik dan Digital di Bertam Resort di sini.

Mengulas lanjut, Azalina berkata, dalam perbincangan sama, ramai berpandangan kes melibatkan media sosial menjadi cabaran masa kini.

“Sebagai bekas peguambela, masalah pensabitan dan penguatkuasaan antara cabaran utama ekoran semasa Akta Hasutan 1948 digubal, platform media sosial canggih seperti Instagram, Facebook, Twitter dan kecerdasan buatan (AI) masih belum wujud.

“Maknanya (media sosial) itu mesin, nak bawa ke mahkamah susah, sebab dia boleh buat (tulis hantaran) dan padam, itu sebabnya saya akan bentang kajian fasa pertama ini kepada menteri-menteri Kabinet untuk dilihat secara menyeluruh,” katanya.

Jumaat lalu, satu sesi libat urus diadakan antara kerajaan dan pihak berkaitan bagi mengkaji keberkesanan perundangan sedia ada dan meneroka model perundangan alternatif dalam menangani isu 3R.

Sesi perbincangan itu turut dihadiri lebih 50 wakil terdiri daripada pelbagai agensi antaranya Polis Diraja Malaysia (PDRM); Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC); badan peguam, pertubuhan masyarakat Madani (CSO), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ahli akademik dan organisasi agama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya