MELAKA: Seorang Guru Besar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Gelam di sini, Sharipah Mohd., 58, tidak mampu menahan sebak ketika diraikan penuh meriah dalam majlis persaraan di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, Selasa lalu.
Lebih manis apabila Sharipah dan suaminya, Ishak Ismail yang berpakaian pengantin diarak menaiki kereta kuda dari Hotel Jawhar Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) sejauh hampir satu kilometer.
Bagi anak jati kelahiran Kampung Gelam itu, beliau berasakan majlis tersebut meninggalkan kenangan manis yang sukar dilupakannya sepanjang tempoh 35 tahun enam bulan bergelar pendidik.
“Selama tempoh itu macam-macam cabaran dan dugaan yang saya tempuhi. Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik sebenarnya. Untuk menjadi pendidik ia memerlukan jiwa yang teguh dan utuh, khususnya apabila dilantik menjadi guru besar selama enam tahun di tiga buah sekolah di Melaka.
“Sebab sebagai guru besar saya perlu menjadi contoh, menjadi ketua dan segala-gala yang baik datang dari saya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia pada Majlis Persaraan Selaut Budi Seribu Memori.
Sharipah yang bergelar pendidik sejak 1988 sangat terharu dengan sambutan rakan guru meraikannya dalam satu majlis yang indah.
Menurutnya, perasaan hiba tetap menyelubungi dirinya apabila terpaksa meninggalkan kerjaya yang sebelum ini pernah berkhidmat di Kuala Lumpur, Johor, Selangor dan berakhir di Melaka.
“Hajat untuk bersara di sekolah asal saya mula mendapat pendidikan awal dari darjah satu hingga enam di SK Kampung Gelam menjadi kenyataan.
“Saya menjadi guru besar selama enam tahun di tiga buah sekolah iaitu di SK Kem Gerakhas Kem Sungai Udang, SK Bachang dan SK Kampung Gelam. Cuma saya ingin nasihatkan kepada bakal guru agar memasang niat yang baik dalam apa-apa bidang kita ceburi, kerana niat baik mendatangkan kesihatan,” ujarnya. – UTUSAN