JERLUN: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Hitam, Kedah bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru antara guru dan bekas anak murid pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini.
Menerusi pengumuman calon PRN di Dewan Bitara Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu, di sini, penyandang kerusi berkenaan, Azhar Ibrahim (PN) akan bertembung dengan bekas anak muridnya, Hayazi Azizan (BN).
Azhar sebelum ini pernah menjadi guru kepada Hayazi sewaktu beliau berkhidmat di Sekolah Dato’ Sri Syed Ahmad, Ayer Hitam, di sini.
Azhar berkata, walaupun Hayazi merupakan pendatang baharu dalam arena politik namun bekas anak muridnya itu dilihat mempunyai potensi bersama UMNO.
“Kita tak kisah siapa pun akan berlawan kerana politik ini bebas, cuma saya berharap siri kempen PRN dapat berjalan dengan baik, lancar dan berdisiplin mengikut peraturan.
“Hubungan kami (bersama Hayazi) baik dan tiada masalah malah saya juga beri jaminan kempen kali ini tidak akan melibatkan serangan peribadi kepada calon,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), DUN Ayer Hitam dimenangi oleh Azhar dengan meraih undian majoriti sebanyak 537 menerusi pertembungan tiga penjuru menentang Datuk Aziz Mahamod (PKR) dan Datuk Abu Hasan Sarif (BN).
Dalam pada itu, Azhar berkata, DUN Air Hitam mempunyai sejarah yang unik memandangkan kerusi itu sering bertukar wakil rakyat pada setiap kali PRU sejak tahun 1999 lagi.
“Pada tahun 1999, kerusi ini dimenangi oleh Pas, tahun 2004 pula BN, 2008 kembali semula kepada Pas, kemudian 2013 balik semula pada BN dan 2018 Pas berjaya merampas kembali kerusi itu.
“Secara kebetulan kitarannya begitu dan kita harapkan PN akan dapat mengekalkan kemenangan Pas pada PRN kali ini,” katanya.
Tambah Azhar, pihaknya optimis PN dapat mengekalkan kemenangan di kerusi itu berdasarkan kepada perkhidmatan disampaikan parti itu kepada rakyat sepanjang tempoh lima tahun ini.
“Banyak telah kita laksanakan sepanjang lima tahun dan saya yakin rakyat boleh menilai dengan sebaiknya,” katanya.-UTUSAN