Guna ‘beruk besi’ panjat pokok kelapa, lebih selamat - Utusan Malaysia

Guna ‘beruk besi’ panjat pokok kelapa, lebih selamat

ZAKARIA Omar menggunakan ‘beruk besi’ untuk memanjat pokok kelapa di Kampung Baru Tetambah, Manir, Kuala Nerus. – UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Seorang pesara Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dapat menambah pendapatan dengan menggunakan ‘beruk besi’ untuk memanjat pokok kelapa lebih cepat dan selamat walaupun ketika hujan.

Zakaria Omar, 48, dari Kampung Baru Tetambah, Manir berkata, peralatan memanjat pokok kelapa tersebut merupakan hasil kreativiti seorang saudaranya yang mahir mencipta pelbagai inovasi baharu dalam bidang pertanian.

Menurutnya, seorang lagi sepupunya yang mahir dalam bidang pertukangan besi pula telah membuat beberapa penambahbaikan peralatan itu.

Zakaria yang mesra disapa sebagai Pok Ya berkata, keistimewaan lain ‘beruk besi’ ini dapat menurunkan kelapa muda dalam keadaan sempurna dan tidak pecah.

“Jadi, risiko kerugian dapat dikurangkan dan paling pen­ting ialah aspek keselamatan dan keselesaan ketika berada di puncak pokok untuk memetik buah kelapa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Bapa kepada seorang anak itu berkata, walaupun tidak mempunyai kemahiran memanjat pokok kelapa sewaktu muda, penggunaan ‘beruk besi’ itu dapat meningkatkan keyakinannya untuk menjadikan kemahiran itu sebagai sumber rezeki tambahan.

Katanya, cengkaman kuat besi pada batang pokok kelapa membuatkan kedudukannya lebih stabil dan tidak penat berbanding kaedah memanjat secara tradisional.

“Kalau kaedah tradisional, hanya dapat panjat dua atau tiga pokok kelapa dalam masa sehari, namun pengalaman saya menggunakan beruk besi ni boleh panjat secara puratanya lebih 10 pokok sehari.

“Itu semua bergantung kepada beberapa faktor,” katanya.

Selain itu tambahnya, dia turut menjual ‘beruk besi’ tersebut pada harga RM400. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya