KUALA LUMPUR: Tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang menggunakan sentimen perkauman berhubung amaran kepada pengundi Pulau Pinang untuk menyekat ‘gelombang hijau’ kerana akan memusnahkan tokong Buddha diselar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Exco Srikandinya, Nor Azah Abdul Aziz berkata, Guan Eng harus meninjau kawasan di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN) di mana kehidupan masyarakat di sana berbilang kaum dan agama, sekali gus tiada isu perkauman seperti yang dibangkitkan pemimpin DAP berkenaan.
“Saya mencadangkan agar Guan Eng membuat lawatan sambil belajar ke Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis untuk melihat bagaimana negeri-negeri itu ditadbir oleh pemimpin berjiwa rakyat dengan suasana harmoni masyarakat berbilang kaum dan agama dalam menjalani kehidupan beragama masing-masing. Ini kerana Islam tidak pernah mengajar untuk umatnya menindas agama lain, dan begitu juga agama lain, itu adalah fakta.
“Sewajarnya, Guan Eng tidak menggunakan isu 3R iaitu agama, bangsa dan raja dalam meniupkan api perkauman dan sentimen agama dalam berhujah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nor Azah dalam masa yang sama turut mengingatkan Guan Eng agar lebih fokus kepada perjuangan isu sebenar yang membabitkan hal rakyat seperti peningkatan kos sara hidup rakyat yang makin menghimpit dan pembangunan Projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan penambakan laut secara besar-besaran bagi membina tiga pulau buatan.
“Jika Lim Guan Eng berasa bibit-bibit kekalahan akan tiba dalam PRN tidak lama lagi, tidak perlu menggunakan agama dan kaum untuk menghasut rakyat Pulau Pinang mengundi kerajaan DAP Pulau Pinang.
“Jangan menidakkan kebijaksanaan pengundi-pengundi di negeri ini, terutamanya anak-anak muda. Sudah pasti, mereka tidak mahu undi DAP tetapi dapat BN yang dikuasai Zahid Hamidi, tokoh yang DAP musuhi dulu.
“Justeru, saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada Guan Eng bahawa gelombang rakyat Pulau Pinang bakal ranapkan DAP negeri itu, bukannya tokong Buddha,” ujarnya lagi. – UTUSAN