KUALA LUMPUR: Grab Holdings Inc dan dua anak syarikatnya berjaya mengetepikan cadangan denda sebanyak RM86.7 juta selepas Mahkamah Tinggi di sini membenarkan semakan kehakiman syarikat terbabit.
Hakim Wan Ahmad Farid memutuskan demikian selepas mendapati cadangan untuk mengenakan jumlah denda tersebut telah melanggar prosedur dan keadilan semula jadi.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh itu berkata demikian pada permohonan semakan kehakiman dikemukakan Grab Holdings Inc dan dua anak syarikatnya, GrabCar Sdn. Bhd. dan MyTeksi Sdn. Bhd. bagi mencabar cadangan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan denda RM86.77 juta terhadap mereka.
Grab Holdings dan dua anak syarikatnya itu memohon kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan cadangan MyCC untuk mendenda syarikat-syarikat tersebut.
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi, pada Februari 2020, menolak permohonan Grab Holdings kerana mahkamah menganggap langkah itu terlalu awal memandangkan keputusan yang dicadangkan itu belum muktamad.
Pada 19 April 2021, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan memberi kebenaran kepada Grab Holdings dan dua anak syarikatnya untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi mencabar cadangan MyCC untuk mendenda syarikat perkhidmatan e-hailing itu.
MyCC mendakwa Grab menyalahgunakan kedudukannya yang dominan dengan mengenakan beberapa klausa sekatan ke atas pemandunya bagi menghalang mereka mempromosikan pesaing syarikat itu di platform e-hailing.
Pada 3 Oktober 2019, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Iskandar Ismail (ketika itu) dalam satu kenyataan berkata, denda RM86.77 juta adalah termasuk denda itu turut melibatkan penalti harian sebanyak RM15,000 bermula pada tarikh sama.
Tambah Iskandar, klausa Grab tersebut menjadi isu selepas penggabungan antara Grab dan Uber Technologies Inc. pada Mac 2018 untuk operasi di Asia Tenggara.
Jelasnya, penggabungan itu secara tidak langsung menjadikan Grab sebagai pemain dominan dalam pasaran e-hailing Malaysia dan sejak itu MyCC telah menerima banyak aduan. – UTUSAN