IPOH: Kira-kira 5,000 pengunjung telah membeli di gerai-gerai Program Rahmah yang menyertai program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 yang diadakan di sini hari ini.
Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, beliau difahamkan jumlah itu adalah setakat pukul 5.30 petang tadi dan berharap lebih ramai akan hadir sehingga program utama selesai esok.
“Saya juga mengharapkan bukan hanya warga di sekitar kawasan ini yang dapat datang, tetapi lebih luas dari itu.
“Manfaatkan keberadaan gerai-gerai termasuk daripada agensi-agensi penyedia perkhidmatan Internet serta juga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang menawarkan potongan 50 peratus bayaran saman,” katanya semasa melawat program tersebut hari ini.
Program Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2023 itu dianjurkan di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini selama dua hari bermula hari ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof akan merasmikan program tersebut esok dengan membacakan teks ucapan pelancaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dijadualkan turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Kata Fahmi, dijangkakan sekurang-kurangnya 10,000 orang akan hadir pada program tersebut dan mengharapkan penganjuran ini dapat mengekalkan semangat patriotik rakyat. – UTUSAN