Gelombang PN tak berkesan di Kota Siputeh - Utusan Malaysia

Gelombang PN tak berkesan di Kota Siputeh

ABDUL RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERLUN: Gelombang Perikatan Nasional (PN) dengan mengenengahkan siapa pun calon dianggap boleh menang tidak akan berkesan di Jerlun khususnya kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh.

Sebaliknya, pengundi di kawasan berkenaan lebih cenderung dan mahu calon dalam kalangan anak tempatan untuk diketengahkan sebagai wakil rakyat mereka.

Calon Bebas DUN Kota Siputeh, Abdul Ramli atau lebih dikenali sebagai Latif berkata, pengundi di kawasan itu sememangnya menolak calon luar malah situasi tersebut telah dizahirkan dalam beberapa pilihan raya sebelum ini di mana mereka lebih memilih anak tempatan bagi memberikan perkhidmatan.

“Mereka (pengundi) lebih suka calon tempatan yang dapat berkhidmat di sini dan bukannya calon luar yang hanya menjadikan kawasan ini sebagai persinggahan.

“Masyarakat pada masa ini lebih melihat kepada gelombang tapi di DUN Kota Siputeh, pengundi lebih melihat kepada calon dan keadaan semasa,” katanya ketika ditemui di pusat khidmatnya di sini hari ini.

Pilihan raya negeri (PRN) bagi kerusi DUN Kota Siputeh mencuri tumpuan dengan menyaksikan pertembungan tiga penjuru apabila Abdul Ramli tampil menjadi calon Bebas.

Abdul Ramli bakal berdepan calon PN, Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir dan penyandang, Dr Salmee Said dari Pakatan Harapan (PH).

Sebelum ini, media melaporkan, sebahagian daripada ahli Bersatu kawasan itu tampil membuat bantahan dan menolak pencalonan berkenaan ekoran rasa kurang senang ahli yang mendakwa calon daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Mohd. Ashraf yang diumumkan mewakili kerusi berkenaan bukan penduduk tempatan.

Dalam pada itu, Abdul Ramli berkata, beliau memilih bertanding atas tiket Bebas selepas menerima desakan daripada pengundi akar umbi yang kecewa dengan pemilihan calon luar bagi mewakili PN di kerusi berkenaan.

“Saya juga merupakan Pengerusi Pertubuhan Peladang Changlun dan sememangnya telah dikenali ramai khususnya di peringkat akar umbi.

“Apabila Bersatu tidak memberi ruang kepada saya untuk bertanding, saya tiada pilihan lain tambahan pula dengan desakan pengundi dan penyokong bawah yang minta untuk saya bertanding Bebas,” katanya.

Tambahnya, beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk memenangi kerusi berkenaan walaupun belum pernah ada mana-mana calon Bebas bertanding di kerusi DUN itu.

“Saya tahu Bebas ini risikonya tinggi malah saya juga orang pertama yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Kota Siputeh namun saya mengharapkan sokongan daripada pengundi khususnya di peringkat bawah,” katanya.

Pada PRU14, DUN Kota Siputeh dimenangi oleh Salmee dengan majoriti 1,467 undi dalam pertembungan tiga penjuru menentang Mohd Rejab Md Akhir (Pas) dan Ahmad Azhar Abdullah (BN).-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya