Galeri Haji Pulau Pinang diiktiraf MBOR galeri haji pertama negara - Utusan Malaysia

Galeri Haji Pulau Pinang diiktiraf MBOR galeri haji pertama negara

MOHD. FITRI Ibrahim (kiri) menerima sijil pengiktirafan sebagai galeri haji pertama di negara ini daripada Christopher Wong Hong Wai (kanan) sambil diperhatikan Chow Kon Yeow dalam majlis di Galeri Haji Pulau Pinang, di Lebuh Acheh, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Galeri Haji Pulau Pinang yang dibuka pada 2015 berjaya mendapat pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai galeri haji pertama di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Islam Pulau Pinang (YIPP), Mohd. Fitri Ibrahim berkata, pihaknya telah mengemukakan permohonan untuk mendapatkan pengiktirafan sebagai galeri haji pertama di negara ini awal tahun ini.

“Pada 6 Jun lalu, bersempena sambutan Hari Warisan Dunia George Town, galeri ini telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book of Records sebagai galeri haji pertama di negara ini.

”Galeri Haji Pulau Pinang yang dibuka hampir sembilan tahun lalu merupakan satu-satunya galeri haji seumpamanya di Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Galeri Haji Pulau Pinang, di sini hari ini.

Majlis penganugerahan sijil MBOR itu diadakan di Galeri Haji Pulau Pinang di Lebuh Acheh dan disampaikan oleh Ketua Pegawai Operasi MBOR, Christopher Wong Hong Wai kepada Mohd. Fitri dan disaksikan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Menurutnya, keunikan utama muzium itu terletak pada bangunannya iaitu No. 87 Lebuh Acheh yang pernah digunakan sebagai pusat haji dan pejabat urusan jualan tiket kapal haji yang telah beroperasi dari 1828 hingga tahun 1960-an.

“Selain itu, Galeri Haji Pulau Pinang juga terletak di dalam kawasan Tapak Warisan Dunia, George Town.

”Malah lokasi Lebuh Acheh pula di kenali sebagai Little Jeddah pada masa tersebut kerana menjadi pusat berkumpul jemaah haji sebelum berlepas menaiki kapal haji di Pelabuhan Pulau Pinang,”katanya.

Tambahnya, Galeri Haji Pulau Pinang itu mempunyai sekitar 40 koleksi barangan haji yang dipamerkan untuk tontonan masyarakat bagi mengetahui mengenai proses mengerjakan haji pada zaman dahulu yang mengguna kapal laut.

“Galeri Haji Pulau Pinang yang dirasmikan oleh tokoh Islam bertaraf dunia iaitu Mufti Ismail Menk telah menerima 10,000 pelawat dari dalam dan luar negara yang terdiri daripada kerabat diraja, duta negara asing serta pembesar negara.

“Pada tahun lepas, Galeri Haji Pulau Pinang telah menerima Anugerah Cemerlang Warisan 100 tahun Pulau Pinang dari kerajaan negeri dan hari ini pula menerima sijil pengiktirafan MBOR, ini merupakan penghormatan kepada kami,” katanya.

Dalam pada itu, Christopher berkata, MBOR telah menjalankan kajian bersama dengan pihak berkaitan dan mendapati galeri tersebut memang disahkan sebagai
galeri haji pertama di negara ini.

”Pengikirafan MBOR ini diharapkan dapat mempromosikan keunikan galeri ini serta budaya umat Islam di negara ini khususnya di Pulau Pinang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya