Gaji progresif: KSM sedia kerjasama dengan Kementerian Ekonomi tentu modul terbaik - Utusan Malaysia

Gaji progresif: KSM sedia kerjasama dengan Kementerian Ekonomi tentu modul terbaik

V. SIVAKUMAR (tengah) ketika sesi lawatan kerja ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

KEPALA BATAS: Kementerian Sumber Manusia (KSM) sedia bekerjasama dengan Kementerian Ekonomi bagi menentukan modul gaji terbaik untuk dilaksanakan di di negara ini.

Menterinya, V. Sivakumar berpandangan, walaupun jawatankuasa untuk meneliti hal-ehwal gaji secara umumnya terletak di bawah kementeriannya, namun Rafizi Ramli selaku Menteri Ekonomi juga berhak menyatakan apa yang baik untuk ekonomi negara.

“(Dalam hal ini), kita tak ada sebarang masalah (untuk bekerjasama). Beliau (Rafizi) merupakan anggota MTEN (Majlis Tindakan Ekonomi Negara), saya juga anggota MTEN.

“Jadi, kita akan bincang untuk lihat apakah kaedah atau mekanisma terbaik untuk menentukan modul gaji yang terbaik untuk negara,” katanya.

Beliau ditemui pemberita ketika sesi lawatan kerjanya ke Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kepala Batas, di sini hari ini.

Rafizi dalam satu kenyataan sebelum ini mendakwa, kementerian yang diterajuinya ketika ini juga bertanggungjawab dalam hal-ehwal gaji termasuk gaji progresif kerana mereka menguruskan perancangan ekonomi negara secara menyeluruh.

Kata Rafizi, gaji yang tidak setara dengan kos sara hidup adalah isu pokok yang menjadi penghalang kepada peralihan Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi.

Mengulas lanjut, Sivakumar memberitahu, selain gaji progresif, terdapat modul gaji-gaji lain yang boleh diteliti ketika ini.

Kata beliau, berbanding modul gaji lain, gaji progresif itu juga bergantung kepada produktiviti seseorang pekerja.

“Jika kita lihat pada gaji minima (RM1,500), ia adalah sama. Semua orang akan dapat gaji minima ini iaitu sekurang-kurangnya RM1,500.

“Tapi, gaji progresif ini juga akan melihat kepada produktiviti pekerja. Banyak negara dah amal gaji progresif ini termasuk negara jiran kita Singapura selepas satu kajian yang teliti dibuat selama lima tahun,” katanya.

Jelas Sivakumar, pihaknya juga akan membuat satu pembentangan kepada MTEN berkaitan gaji progresif ini bulan depan.

“Kita akan kaji secara terperinci. Sekarang, masih pada peringkat permulaan termasuk untuk melihat kepada modul-modul gaji yang lain, tetapi kita belum membuat sebarang keputusan setakat ini,” ujar beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya