Gaji minimum bantu pekerja cukup simpanan persaraan - Utusan Malaysia

Gaji minimum bantu pekerja cukup simpanan persaraan

KWSP melaksanakan beberapa penambahbaikan strategik produk dan polisi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gaji minimum RM1,500 mencukupi untuk membantu pekerja mencapai simpanan RM240,000 menje­lang persaraan untuk dibelanjakan selama 20 tahun.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, penganalisis ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, ini kerana penca­rum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang menyum­bang 2.4 peratus daripada gaji bulanan boleh mempunyai simpanan kira-kira RM200,000 pada usia 55 tahun jika mereka bekerja sejak usia 25 tahun.

Menurut beliau, ia tidak termasuk kenaikan gaji dan dividen tahunan yang berkonsepkan compounding atau konsep keuntungan atas keuntungan yang membolehkan dividen itu dilaburkan semula sekali gus meningkatkan lagi jumlah simpanan pencarum.

“Sebagai contoh gaji RM1,500 dengan kadar 2.4 peratus sebulan, jadi mereka menyumbang RM360 sebulan, setahun sudah RM4,300 dan jika dapat pula­ngan enam peratus, akhir tahun pertama sudah jadi RM4,600.

“Dengan konsep compoun­ding, RM4,600 ini dalam tempoh 15 tahun boleh jadi kira-kira RM100,000, tetapi ada masa 15 tahun lagi jika mereka mula bekerja dari usia 25 tahun.

“Kalau gaji RM3,000 sebulan, setahun ada RM8,640, dapat dividen enam peratus, akhir tahun pertama sudah RM9,000 dan dalam masa 15 tahun pekerja itu akan ada RM200,000.

“Jika mencarum usia 25, maka usia 40 sudah ada dekat RM200,000 dan kalau terus mencarum, dengan mudah mempunyai baki simpanan le­bih semasa bersara,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin media melaporkan, sejumlah 70 peratus daripada 8.7 juta ahli aktif KWSP tidak mempunyai simpanan mencukupi bagi menampung per­belanjaan selepas bersara.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, minimum simpanan yang diperlukan untuk hidup dalam tempoh 20 tahun selepas bersara dengan anggaran perbelanjaan RM1,000 sebulan adalah RM240,000.

Namun menurut beliau, setakat Mei 2023 hanya 30 peratus pencarum KWSP yang mencapai simpanan asas mengikut umur 55 tahun iaitu RM240,000.

Barjoyai berkata, pihaknya percaya kebanyakan penca­rum boleh mencapai jumlah RM240,000 sekiranya tidak menggunakan simpanan tersebut untuk tujuan lain selain untuk bersara.

Bagaimanapun katanya, kebanyakan penyimpan KWSP pada masa kini menggunakan wang caruman untuk membeli rumah atau melabur dalam amanah saham, maka itu yang menyebabkan kebocoran dalam sistem.

“Gaji RM1,200 kalau pekerja itu tidak usik pun boleh mencapai (simpanan minimum), jadi kena elakkan kebocoran dan kena ada disiplin.

“Tetapi kalau beli rumah itu tidak mengapa sebab pulangan modal ke atas rumah atau kenaikan harga rumah lebih tinggi daripada enam peratus setahun (dividen KWSP), jadi lebih baik laburkan kepada rumah daripada terus simpan di KWSP.

“Cuma, kalau melabur ama­nah saham itu risiko besar sebab statistik menunjukkan semua orang yang mengeluarkan caruman dan melabur di amanah saham, semua rugi dan tidak ma­suk semula di KWSP,” katanya.

Pada masa sama, Barjoyai berkata, pencarum yang sudah mencapai umur persaraan di­syorkan untuk terus menyimpan di KWSP dengan mengeluarkan caruman secara berkala atau bulanan.

Katanya, ini kerana langkah itu membantu pencarum mendapat dividen daripada jumlah simpanan terkumpul kerana wang simpanan masih kekal.

“Misalnya kalau kita bersara dan ada RM250,000 dan dividen tahunan lebih kurang enam peratus, jadi dividen sahaja dapat RM15,000 dan jika dibahagikan dengan 12 bulan, dapat RM1,250.

“Jadi simpanan RM250,000 masih kekal dan setiap tahun dapat pulangan yang boleh digunakan untuk tampung per­belanjaan manakala simpanan pula untuk tunaikan ibadah haji atau kecemasan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya