Gajah liar ganggu Orang Asli dipindahkan - Utusan Malaysia

Gajah liar ganggu Orang Asli dipindahkan

DUA ekor gajah denak atau terlatih, Suria dan Kala mengapit gajah liar yang ditangkap di Pos Perwor, Sungai Siput bagi memujuk haiwan itu menaiki lori untuk dipindahkan. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI SIPUT: Penduduk di Pos Perwor khususnya Orang Asli dekat sini boleh menarik nafas lega apabila seekor gajah liar yang sering mengganggu mereka berjaya dikeluarkan dari kawasan tersebut.

Operasi penangkapan dan pemindahan gajah liar yang berusia lebih 10 tahun itu telah bermula sejak Ahad lalu oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan) melibatkan kekuatan 30 orang anggota termasuk bantuan pihak polis.

Penolong Pengarah Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah, Mohammad Abu Huzaifah Abu Samah berkata, gajah liar ditangkap itu akan dihantar ke habitat asal yang bersesuaian.

Tambahnya, operasi itu diadakan setelah menerima banyak aduan daripada penduduk tempatan, termasuk kejadian gajah liar itu kacau ganggu kawasan sekolah.

“Di kawasan ini kami dari awal tahun menerima enam aduan serius. Gajah ini dipercayai salah seekor gajah yang membuat gangguan di kawasan kampung dan sekolah,” katanya kepada pemberita semasa operasi pemindahan gajah itu di sini hari ini.

Menurut Mohammad Abu Huzaifah yang mengetuai operasi tersebut, pemindahan itu turut dibantu oleh dua ekor gajah denak atau terlatih betina, Suria dan Kala untuk memujuk dan menarik gajah liar itu sehingga menaiki lori.

Operasi untuk membawa gajah liar betina seberat 1.7 tan hingga dua tan itu menaiki lori bermula dari 9 pagi hingga 1.30 petang.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Takong dalam kawasan Pos Perwor, Ali Bin Long gembira dengan tindakan yang diambil perhilitan.

Katanya, sejak awal tahun ini, gajah liar itu sering mengganggu termasuk merosakkan rumah penduduk.

“Murid-murid juga takut nak ke sekolah disebabkan hal ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya