Gadis dilahirkan tanpa tangan, Norfarrah Syahirah akhiri zaman bujang - Utusan Malaysia

Gadis dilahirkan tanpa tangan, Norfarrah Syahirah akhiri zaman bujang

NORFARRAH Syahirah Shaari dan Zulfadli Syahrul melangsungkan pernikahan di Masjid Al-Maaruf Parit 5 Sungai Sumun, Hutan Melintang di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Gadis yang dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, Norfarrah Syahirah Shaari melangsungkan pernikahan dengan lelaki pilihannya di sini hari ini.

Norfarrah Syahirah, 35, dan pasangannya, Zulfadli Syahrul, 33, melangsungkan pernikahan di Masjid Al-Maaruf Parit 5, Sungai Sumun, Hutan Melintang di sini.

Norfarrah Syahirah yang lahir tanpa kedua-dua belah tangan, pernah viral kerana kemahirannya menjahit pakaian perlindungan diri (PPE) dan memandu kereta menggunakan kaki.

Bekerja sebagai Pembantu Tadbir di Kolej Komuniti Teluk Intan, Norfarrah Syahirah  berkata, dia bersyukur kerana bertemu jodoh dengan seorang lelaki yang cukup sifat, memahaminya dan menerima kekurangan dirinya setelah setahun mereka berkenalan.

“Kekurangan anggota fizikal sejak lahir, pada awalnya saya tidak yakin dia boleh menerima kekurangan diri saya.

“Namun dia tetap meneruskan niatnya untuk berkawan dan hampir setahun kami berkawan, dia datang ke rumah membawa rombongan untuk bertunang tahun lepas .

“Saya sangat terharu dan sebak apabila dia menerima kekurangan saya,” katanya.

Sementara itu, Zulfadli yang bekerja di Kuala Lumpur berkata, perkenalan mereka bermula setahun lalu menerusi media sosial.

Katanya, pada awalnya dia cuba-cuba menghantar mesej kepada Norfarrah Syahirah melalui Facebook dan Instagram namun tidak berbalas.

“Hanya menjelang Hari Raya Aidiladha tahun lalu dia membalas mesej saya dan sejak itu kami berkenalan dan bertunang pada Julai lalu.

“Saya tidak pernah memikirkan kekurangan dirinya, sebagai manusia biasa kita juga ada kekurangan dan bagi saya semua orang dalam dunia ini sama,” katanya.

Sementara itu, majlis persandingan pasangan itu diadakan di Dewan Dato Mohamed Jamrah, Parit 7 Sungai Sumun, Hutan Melintang di sini.

Majlis berlangsung meriah dengan dihadiri saudara mara, rakan dan tetamu undangan. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya