Filem Walid tembus pasaran AS - Utusan Malaysia

Filem Walid tembus pasaran AS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pengarah filem, Areel Abu Bakar meluahkan rasa bangga apabila filem baharu arahannya, Walid berjaya menembusi pasaran filem antarabangsa.

Sebagai anak Malaysia, Areel berkata, sudah tentu dia berasa teruja apabila ada pihak di Amerika Syarikat (AS) berminat untuk membawa masuk filem berkenaan ke negara tersebut.

“Bagi saya ini merupakan langkah awal untuk filem tempatan tembusi pasaran luar.

“Apapun saya gembira sebagai anak Malaysia yang mampu menembusi pasaran filem antarabangsa seperti AS.

“Kita sedia maklum prosedur untuk melayakkan kita membuat tayangan filem di sana bukan mudah kerana sudah pasti mereka lebih teliti dengan melihat daripada segi kualiti dan isi kandungan sesebuah filem itu.

“Memang tidak pelik kalau orang kita selalu tertanya-tanya kenapa filem kita susah sangat hendak tayang di sana,” ujarnya.

Areel berkata, dia juga tidak menafikan filem arahannya sebelum ini iaitu Geran yang menerima anugerah ‘Daniel A.CraH Award’ di Festival Filem Asia New York (NYAFF) Ke-19, dua tahun lalu antara faktor naskhah baharunya itu mendapat perhatian.

Ujarnya, filem Walid ini bukan sekadar filem aksi semata-mata, malah mengangkat isu kemanusiaan dan kenegaraan dengan menerapkan elemen silat yang merupakan warisan budaya sebagai ‘ramuan’ utama.

Dalam pada itu, Areel turut memaklumkan dia akan berangkat ke AS pada 24 Julai ini dan akan berada selama hampir sebulan di sana.

“Saya akan berada agak lama di AS memandangkan Walid akan ditayangkan di dua buah negeri iaitu Los Angeles dan New York.

“Selain tayangan filem, akan ada juga sesi diskusi dan soal jawab mengenai filem Walid. Namun, ia semua bergantung dengan pengurusan pihak pawagam di sana,” ujarnya.

Walid menampilkan barisan pelakon-pelakon hebat seperti Megat Sharizal, Namron, Fad Annuar, Fieyna Tajudin, Puteri Qaseh, Shamputra, Yusran Hasim dan ramai lagi.

Mengangkat kisah penculikan kanak-kanak membabitkan sindiket pemerdagangan manusia, filem Walid akan ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 14 September.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya