Feri baharu Pulau Pinang mula operasi 7 Ogos, percuma selama sebulan - Utusan Malaysia

Feri baharu Pulau Pinang mula operasi 7 Ogos, percuma selama sebulan

ANTHONY Loke ketika meninjau dan menaiki feri baharu Pulau Pinang di Pangkalan Raja Tun Uda, George Town hari ini. - Pic: IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Feri baharu Pulau Pinang atau katamaran yang menghubungkan bahagian pulau dan tanah besar negeri itu akan mula beroperasi pada 7 Ogos ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, perkhidmatan feri baharu itu akan beroperasi secara percuma kepada pengguna selama sebulan bermula tarikh tersebut.

Jelas beliau, sebanyak empat buah feri baharu itu akan beroperasi bermula pukul 6 pagi hingga 8.30 malam setiap hari dengan kapasiti penumpang pejalan kaki seramai 150 orang serta 50 penumpang bermotosikal dan berbasikal.

Tambahnya, sebanyak tiga buah feri akan beroperasi setiap hari dengan sebuah feri diletakkan dalam keadaan bersiap sedia dan perjalanan sehala bakal mengambil masa kira-kira 10 minit dengan kekerapan setiap 30 minit pada waktu puncak.

“Ketika ini, keempat-empat buah feri baharu ini sedang menjalani proses percubaan selama empat minggu khususnya melibatkan latihan dalam kalangan pengemudi (pilot) serta untuk mendapatkan tauliah daripada Jabatan Laut sebelum dapat beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau dan menaiki salah sebuah feri baharu itu di Pangkalan Raja Tun Uda, di sini hari ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow.

Sebelum ini, akhbar melaporkan empat buah feri baharu Pulau Pinang itu yang dinamakan Teluk Kumbar; Teluk Bahang; Teluk Duyung dan Teluk Kampi yang dilaporkan berharga RM18 juta setiap satu selamat tiba di negeri ini dari limbungan kapal di Haiphong, Vietnam.

Dalam pada itu, Anthony berkata, feri baharu itu dibangunkan dengan konsep baharu serta ciri-ciri keselamatan yang penuh antaranya dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) yang boleh dipantau oleh jurumudi (pilot) serta di terminal.

Selain itu, katanya, feri itu juga dilengkapi dengan dua buah enjin di bahagian dan hadapan yang mana boleh terus beroperasi sebaik sahaja menurunkan dan mengambil penumpang selain boleh membuat pusingan sehingga 360 darjah.

Dalam pada itu, ditanya berkenaan kadar tambang sebaik sahaja tempoh operasi percuma tamat, Anthony memberi jaminan tambang yang akan diperkenalkan kelak adalah berpatutan dan bakal diumukan selepas perbincangan serta persetujuan bersama Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP).

Sebelum ini, perkhidmatan feri di Pulau Pinang untuk kenderaan empat tayar dihentikan bermula 1 Januari 2021 manakala feri Ro-Ro dikhususkan untuk kegunaan motosikal dan basikal sahaja.

Kesemua kenderaan empat tayar tidak lagi boleh menggunakan laluan laut sebagai alternatif untuk ke bahagian pulau atau sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya