Felda diberi tumpuan khusus dalam Belanjawan Madani 2024

Felda diberi tumpuan khusus dalam Belanjawan Madani 2024

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SERDANG: Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan kerajaan akan memberi tumpuan khusus berkaitan isu Felda dalam Belanjawan Madani 2024, Oktober depan.

Perdana Menteri berkata, ia adalah sebagai satu usaha kerajaan untuk mengangkat martabat Felda dan membela nasib penerokanya.

“Saya beri jaminan kita akan teliti dan bulan depan kita ada Dasar Perindustrian. Selepas itu kita buat kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Bulan Oktober, Belanjawan Madani kedua (2024).

“Insya-Allah dalam Belanjawan Madani kedua, saya akan beri tumpuan khusus kepada Felda dan saudara akan saksikan kita angkat martabat Felda,” katanya ketika berucap pada Hari Peneroka Felda 2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini hari ini. 

Yang hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff.

Selain itu, Perdana Menteri turut memutuskan untuk membuat perubahan terhadap dasar yang hanya membenarkan Felda menguruskan tanah rancangan tersebut dengan membenarkan Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa (KKWD) untuk turut sama membantu meningkatkan kemudahan asas di kawasan berkenaan.

Oleh demikian, beliau berkata, Ahmad Zahid menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diberi ruang sepenuhnya untuk menjelajah ke kawasan Felda.

“Dasar sekarang ini Kementerian Kemajuan Wilayah dan Desa umpamanya dia ada peruntukan untuk wilayah dan desa tapi untuk kawasan Felda itu dibuat berasingan.

“Maka hari ini saya buat keputusan untuk beri ruang sepenuhnya kepada Timbalan Perdana Menteri untuk masuk jelajah ke kawasan Felda membantu meningkatkan kemudahan asasnya.

“Inilah maknanya tahap keyakinan dan kepercayaan saya kepada sahabat saya Ahmad Zahi supaya benda-benda kecil lampu jalan, kerosakan tandas sekolah atau hal kecil lain yang tak terjangkau kementerian, kita beri ruang supaya ada penyelarasan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa peneroka Felda di enam negeri yang terbabit dalam pilihan raya negeri (PRN) Ogos ini untuk menggunakan kuasa rakyat dengan bijaksana bagi memastikan kerajaan negeri dengan kerajaan persekutuan sama.

“Saya akan lakukan sedaya upaya untuk buat perubahan (dalam Felda), tetapi dalam sistem demokrasi ini, kuasa terletak kepada rakyat. Saya rayu saudara gunakan kuasa (rakyat) untuk tentukan nasib rakan dan keluarga kita. Hentikan kerja sakau, noktahkan kemiskinan, bantu Felda dan pastikan Kerajaan Perpaduan kekal dengan kerajaan negeri bulan depan. 

“Maka dengan itu, kita akan teruskan program (pelbagai inisiatif memperkasakan Felda dengan lebih bergaya,” katanya. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya