DUNGUN : Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan membina lima pusat hemodialisis di lima negeri bagi kemudahan kesihatan warga Felda yang mengidap penyakit buah pinggang pada tahun ini.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, pusat tersebut akan dibina di Felda Kerteh 5 di Terengganu, Felda Kelana Jaya di Selangor, Felda Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan, Felda Wilayah Johor Bahru, Johor dan Felda Chiku 3, Gua Musang, Kelantan.
Menurutnya, kos pembinaan pusat tersebut yang baharu dianggarkan bernilai RM2 juta manakala penubuhan pusat itu di bangunan sedia ada dengan dilakukan kerja-kerja naik taraf dijangka menelan belanja hampir RM1 juta.
“Setiap pusat hemodialisis akan dilengkapi enam mesin untuk mencuci buah pinggang, yang mana kita sekarang ini sedang mendapatkan sijil menduduki bangunan (CF),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kesejahteraan Komuniti Malaysia Madani sempena Hari Peneroka Felda Wilayah Terengganu, di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kerajaan meluluskan pembinaan 12 pusat hemodalisis bernilai RM21 juta iaitu satu wilayah felda satu pusat hemodalisis.
Mengenai tujuh lagi pusat hemodialisis, Ahmad Shabery berkata, pihaknya menjangkakan pembinaan kesemua pusat itu akan siap dalam tempoh dua tahun.
“Kita telah mengenal pasti kesemua tapak untuk dibina dan dibangunkan kesemua 12 pusat hemodialisis, namun kita bina secara berperingkat dengan membina lima buah pusat terlebih dahulu tahun ini.
Sementara itu, Alias Ibrahim, 67, dari Felda Kerteh 5 berkata, dia yang mengidap penyakit buah pinggang sejak dua tahun lalu, menarik nafas lega dengan pengumuman pembinaan pusat hemodialisis di felda tersebut.
“Sebelum ini pak cik perlu berulang alik ke Hospital Kemaman sejauh 40 kilometer, tiga kali seminggu untuk mencuci buah pinggang.
“Bila ada pusat hemodialisis baharu ni nanti, memang benar-benar melegakan pak cik sebab tak perlu ulang alik jauh. Sebelum ini terpaksa bergantung kepada anak-anak untuk hantar ke Hospital Kemaman,” katanya. – UTUSAN