GEORGE TOWN: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mensasarkan jualan lebih RM7 juta menerusi penyertaan usahawan dari negara ini ke Malaysia Fest yang akan berlangsung di Singapura tidak lama lagi.
Pengerusi Fama, Aminuddin Zulkipli berkata, Malaysia Fest itu yang bermula 27 hingga 30 Julai ini akan disertai 124 usahawan yang membawa produk-produk yang menjadi kebanggaan negeri masing-masing.
”Malaysia Fest ini menawarkan pelbagai produk dari Malaysia dan ia sentiasa mendapat sambutan yang menggalakkan dari warga Singapura, sebagai contoh tahun lalu produk berkaitan petai ‘meletup’ di sana.
”Pada tahun ini, kita sasarkan jualan sebanyak RM7 juta dengan penyertaan 124 usahawan yang mempunyai ‘signature’ produk dari negeri masing-masing,” katanya selepas menghadiri majlis penutup Penang FAMA Fest 2023, di sini hari ini
Majlis penutup Penang FAMA Fest 2023 itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan(KPKM), Chan Foong Hin.
Menurut Aminuddin, antara usahawan yang akan menyertai Malaysia Fest itu ialah usahawan dari Pulau Pinang seperti jeruk madu Pak Ali, belacan, kopi Hang Tuah, songkok dan tarbus.
”Selain itu, dari Terengganu pula usahawan keropok lekor serta pelbagai lagi dari usahawan negeri-negeri lain yang masing-masing membawa produk mereka.
”Ada di antara usahawan-ushawan ini yang pernah menyertai eskpo tersebut dan mempunyai peminat tersendiri di sana.
“Malah, kita juga membawa usahawan-usahawan baharu bagi membolehkan mereka mengembangkan perniagaan serta membuka peluang untuk mereka mengeksport produk ke luar negara,” katanya.
Dalam pada itu, tambah beliau, FAMA juga mensasarkan padanan perniagaan membabitkan usahawan yang terlibat di ekspo tersebut iaitu sebanyak RM3.5 juta.
“Kebanyakan usahawan yang pernah menyertai ekspo ini mempunyai jaringan perniagaan dengan syarikat-syarikat di luar negara.
“Kita berharap menerusi penyertaan mereka ke Malaysia Fest ini nanti akan lebih banyak padanan perniagaan dapat dibuat dalam usaha memperluaskan produk masing-masing,” katanya. – UTUSAN