PETALING JAYA: Pengenalan konsep kombo madani oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) diharap dapat membantu suri rumah berbelanja membeli barangan dapur pada harga yang berpatutan.
Kombo madani diwujudkan dengan meletakkan barangan mentah tertentu dalam satu bakul khas dan harganya tidak ditetapkan.
Bagaimanapun FAMA akan memastikan di dalam kombo itu, dilengkapi keperluan seperti ayam, sayur, dan bahan-bahan runcit lain, sesuai dengan pakej ditetapkan.
Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, antara barangan keperluan tersebut ialah sayur-sayuran, buah-buahan, ayam proses, telur, ikan, gula dan minyak masak.
“Untuk setiap kombo madani FAMA tidak tetapkan sebarang ketetapan harga, tetapi kami memberi potongan harga untuk setiap kombo dan pengguna akan mendapat nilai penjimatan antara 10 peratus hingga 30 peratus
Malah katanya setiap kombo yang mula diperkenalkan pada Mac 2023 itu berbeza yang bermaksud ia berbeza komoditi, berbeza lokasi dan berbeza nilai.
“Pengenalan kombo madani in penting bagi memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam, ayam, ikan, sayur-sayuran, buah-buahan dan komoditi lain menerusi program jualan agromadani ni,” ujarnya.
Program Jualan Agro Madani tercetus apabila kerajaan melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STR) membangunkan inisiatif baharu iaitu mengurangkan kos sara hidup melalui penambahbaikan rantaian bekalan Agro Madani.
Menurut Abdul Rashid Bahri, Program Jualan Agro Madani merupakan penjenamaan semula kepada program Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) dan Jualan Agro Rahmah yang telah dilaksanakan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).
“Program ini membuktikan keprihatinan kerajaan dalam memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terjaga dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.
“Program jualan ini juga adalah satu inisiatif untuk meningkatkan akses dan ketersediaan bekalan produk makanan asas terpilih pada harga yang berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, melalui program ini dapat menyumbang kepada beberapa perkara antaranya peningkatan kebolehcapaioan (accessibility) dan ketersediaan (availability) untuk memudahkan pengguna dapat bekalan produk segar pada harga yang berpatutan.
“Selain itu sebagai program quick win berteraskan penjimatan dan mengurangkan kos sara hidup rakyat serta mengurangkan lapisan perantara pasaran dari sumber pengeluaran kepada pengguna melalui penglibatan peserta dalam program jualan.
“Akhir sekali, untuk memberi ruang pasaran tambahan dan meningkatkan pendapatan peserta dengan konsep jualan secara terus kepada pengguna,” katanya.
Abdul Rashid berkata, penyertaan kementerian berkenaan pada inisiatif Jualan Agro Madani melalui tiga agensi pelaksana iaitu FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Melalui kerjasama ini, kami melaksanakan jualan barangan keperluan seperti sayur- sayuran, buah-buahan, ikan, ayam, daging dan telur secara terus dari ladang pada harga 10 peratus ke 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan.
“Kombo madani adalah promosi jualan produk secara pakej pada harga istimewa dalam lingkungan RM10 sehingga RM20 untuk satu bakul. Ini turut menjadi daya tarikan utama sepanjang berlangsungnya Jualan Agro Madani,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sehingga 24 Julai lalu, sebanyak 709 jumlah program dilaksanakan di kementerian dan agensi kerajaan seluruh negara dengan nilai jualan RM19.3 juta dan penjimatan sebanyak RM5.8 juta. Jumlah usahawan yang telah menyertai Program Jualan Agro Madani adalah seramai 11,345 usahawan dengan jumlah 354,000 pengunjung.
“Dengan laporan yang jelas menunjukkan program ini mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan rakyat Malaysia terutama golongan berpendapatan rendah.
“Program ini akan diperluaskan dengan sasarannya sebanyak 5000 sesi jualan berakhir Disember ini dan sasaran nilai RM39 juta yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta isi rumah dengan nilai penjimatan dianggarkan 11.5 juta. –UTUSAN