Exco Srikandi Bersatu minta henti sebar video pertengkaran dengan sepupu - Utusan Malaysia

Exco Srikandi Bersatu minta henti sebar video pertengkaran dengan sepupu

NOR AZAH Abdul Aziz (kiri) dan sepupunya, Samsudin Ismail tampil menjelaskan isu sebenar membabitkan pertengkaran mereka yang tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Exco Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Nor Azah Abdul Aziz meminta pihak yang tidak bertanggungjawab menghentikan fitnah terhadap keluarga beliau menerusi penyebaran video pertengkaran membabitkan dirinya.

Nor Azah berkata, video berkenaan merupakan kejadian yang berlaku kira-kira lima tahun lalu membabitkan dia dan sepupunya, Samsudin Ismail, 66.

Katanya, pergaduhan yang berlaku adalah membabitkan soal keluarga mereka dan isu berkenaan telah diselesaikan secara baik, malah mereka juga telah melupakan perkara tersebut.

”Video ini pernah ditularkan pada 2020 ketika saya mahu bertanding Exco Srikandi dan Ketua Srikandi Bahagian Bukit Gelugor, namun kali ini isu ini lebih hangat diperkatakan kerana video ini telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab.

”Saya dan sepupu telah lama berbaik semula dan kami sangat terkejut selepas melihat video ini ditularkan semula kira-kira tiga hari lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Desa Permai Indah, Sungai Dua, di sini hari ini.

Terdahulu, tular video yang mempertikaikan kepimpinan Nor Azah kerana beliau pernah bertengkar serta mengeluarkan kata-kata kesat kepada Samsudin.

Nor Azah berkata, beliau juga telah membuat penjelasan kepada pimpinan Srikandi Pusat berhubung isu membabitkan video berkenaan pada Khamis lalu.

”Pimpinan Srikandi telah sedia maklum mengenai isu ini dan saya juga mahu menjelaskan semua isu agar semua pihak faham akan keadaan sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sama ada penyebaran video berkenaan berkaitan namanya yang dikatakan bakal menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN), Nor Azah berkata, dia menyerahkan soal calon itu kepada pimpinan PN.

”Saya serahkan soal pencalonan ini kepada pimpinan PN kerana mereka lebih bijak menilai setiap ahli. Tercalon atau tidak saya akan tetap menjalankan kerja untuk parti dan menganggap perkara yang berlaku adalah asam garam dalam politik,” katanya.

Tambahnya, beliau telah berkecimpung dalam dunia politik sejak 20 tahun lalu dan menasihatkan semua pihak berpolitik dengan cara yang lebih beradab dan matang.

Dalam pada itu, katanya, beliau akan membuat laporan polis hari ini berhubung penyebaran video berkenaan di Balai Polis Jelutong di sini.

Sementara itu, Samsudin berkata, dia telah lama melupakan kejadian yang berlaku itu dan hubungannya dengan Nor Azah juga berlangsung dalam keadaan yang baik selama ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya